Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M tak kisah seantero dunia malukan Najib
Diterbitkan:  Jul 25, 2016 12:45 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru negara-negara luar termasuk Amerika Syarikat dan Australia agar menamakan dan memalukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak susulan pendedahan melibatkan skandal 1MDB.

"Saya tahu kebanyakan negara luar agak keberatan untuk berterus-terang dalam mengatakan perdana menteri adalah individu yang bersalah atas semua ini," ujar beliau dalam wawancara bersama ABC.

Walaupun saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dalam dakwaannya bahawa dana 1MDB telah disalah gunakan itu tidak langsung menyebut Najib, ia berulang kali membuat rujukan kepada 'Malaysian Official 1'.

Spekulasi bertiup kencang berdasarkan maklumat yang disediakan dalam saman itu, 'Malaysian Official 1' adalah perdana menteri yang merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Dokumen-dokumen DOJ juga mengaitkan penglibatan anak tiri Najib, Riza Aziz dan Jho Low, seorang ahli perniagaan Malaysia yang dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga perdana menteri.

Menurut dokumen tersebut, penama-penama berkenaan didakwa menggunakan dana 1MDB untuk menyelesaikan hutang judi, membeli hartanah mewah termasuk sebuah penthouse di Manhattan, banglo di Los Angeles, karya seni dan juga jet peribadi.

Dana berkenaan juga didakwa digunakan untuk membiayai filem Hollywood 'Wolf of Wall Street' yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio.

Filem tersebut diterbitkan oleh firma penerbitan Red Granite yang dimiliki oleh Riza.

Menjawab soalan daripada ABC jika beliau mahu referendum ke atas kepimpinan Najib, Mahathir menambah, ia akan bergantung kepada kerajaan dalam meluluskan referendum tersebut.

"Kerana mereka (kerajaan) akan menggunakan segala kuasa polis untuk menghalang kami daripada melakukan apa-apa," jelasnya.

Menurut Mahathir lagi, rakyat Malaysia tidak turun ke jalan raya untuk meluahkan kemarahan kerana mereka adalah 'pemalu'.

"Mereka tidak ganas. Mereka tidak meluahkan perasaan secara terbuka," ujarnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS