Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Buat apa Najib nak bayar RM2b kepada Clinton'
Diterbitkan:  Jul 25, 2016 4:46 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Susulan tindakan saman oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) ke atas 1MDB, bertebaran di media sosial tentang bagaimana kerajaan Malaysia didakwa sedang mencatur perjanjian dengan calon presiden AS, Hillary Clinton.

Dakwaan tersebut yang disebarkan menerusi Whatsapp juga mengatakan mendakwa seorang peguam terkemuka Malaysia terlibat dalam rundingan melibatkan sumbangan sebesar AS$500 juta untuk kempen Clinton sebagai tukaran kepada tindakan mengelak pendakwaan.

Sebuah portal pro-Umno menafikan dakwaan tersebut dan menyalahkan Sarawak Report kerana berbohong.

Bagaimanapun, tinjauan Malaysiakini tidak menjumpai sebarang kaitan mengenai isu berkenaan dalam Sarawak Report.

"Ini memang kes lawak antarabangsalah," kata MyKMU.net.

"Buat apa (Perdana Menteri) Najib (Razak) nak bayar hampir RM2 billion kepada Hillary bila beliau tak terkait pun dalam saman tersebut, namanya pun tak wujud!!

"Itu pertama, kedua nak bayar Hillary buat apa bila belum tentu dia menang pun, kok Trumph yang menang, macam mana? Ketiga, mana buktinya?," tanya portal tersebut.

Sambil menyelar Tun Dr Mahathir Mohamad, portal itu berkata, bekas perdana menteri berkenaan ialah satu-satunya pemimpin negara ini yang membayar berjuta-juta ringgit untuk bekerjasama dengan presiden AS.

"Rakyat sebaliknya kena faham fakta dan berhujah ikut fakta juga. RM2 billion bukan sikit untuk Najib membayar bagi hasil yang belum pasti.

"Dan paling penting sekali ni dalam saman sivil yang difailkan DoJ itu, selain sumbernya datang dari kuncu-kuncu Mahathir, tujuannya ialah untuk merampas harta dari 4 individu yang dinamakan – Najib bukan salah seorang darinya,

"Lawak ini adalah jalan keluar jika nanti terbukti Najib tidak terbabit seperti yang dipercayai pentaksub Mahathir dan pembangkang hari ini. Puak-puak ini otaknya terbelit, sentiasa ada jalan dan sentiasa ada cara untuk melepaskan diri," tambahnya.

Malaysiakini telah menghubungi peguam terkenal yang disebut dalam dakwaan tersebut dan Kementerian Luar Negeri untuk memberikan maklum balas dan sedang menunggu jawapan mereka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS