Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pokemon Go bebas 'berkeliaran' di M'sia, kata menteri
Diterbitkan:  Jul 25, 2016 5:23 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Malaysia tidak membantah atau menghalang kemasukan aplikasi permainan, Pokemon Go ke negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

"Walaupun di sesetengah negara mungkin ada yang menghalang tetapi kita di Malaysia...kita belum sampai ke tahap itu," katanya kepada media semasa Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Komunikasi dan Multimedia, hari ini.

Pokemon Go, permainan baharu telefon pintar direka oleh syarikat Niantic Incorporation daripada Nintendo Amerika Syarikat (AS) menjadi trend di media sosial buat masa ini, demikian menurut laporan Bernama.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Reuters melaporkan, saham Nintendo Co jatuh sebanyak 18 peratus awal hari ini selepas syarikat itu berkata permainan mudah alih, Pokemon Go akan hanya mempunyai kesan yang terhad terhadap pendapatannya.

Nintendo berkata, selepas pasaran ditutup pada Jumaat lalu, ia telah mengambil kira jangkaan perolehan daripada peranti Pokemon Go Plus - aksesori yang dipakai di pergelangan tangan bagi menyedarkan pemain untuk menangkap raksasa yang ada berdekatan - dan firma itu tidak merancang untuk menyemak semula unjuran pendapatan tahunannya buat masa sekarang.

Menurut Nintendo lagi, gabungannya Pokemon Co menerima perlesenan dan yuran daripada pemaju permainan, Niantic Inc, dan keuntungan di Nintendo dari perolehan berkenaan adalah terhad.

Syarikat berkenaan yang memiliki 32 peratus daripada Pokemon Co bakal melaporkan pendapatan suku pertama pada hari Rabu ini.

Kejayaan luar biasa Pokemon Go mencetuskan belian besar-besaran dalam saham Nintendo dan walaupun dengan penurunan hari ini, saham tersebut masih meningkat sekitar 60 peratus berbanding paras sebelum pelancaran permainan berkenaan di Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand pada 6 Julai yang lalu.

Saham Nintendo menjunam 17.6 peratus pada sesi dagangan tengah hari dengan tergelongsor sebanyak ¥4965 - hanya sejengkal lagi daripada had harian 5,000 yen bagi saham tersebut, menurut laporan Reuters itu.

Lihat Komen
ADS