Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Jika niat tumbang PM, tak boleh ada BERSIH 5.0

Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) tidak boleh mengadakan perhimpunan BERSIH 5.0 jika ia bertujuan menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, demikian menurut Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Kami tidak akan membenarkannya kerana ada cara untuk meminta perdana menteri meletak jawatan seperti yang dinyatakan dalam undang-undang," ujar Khalid semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.

"Jika mereka meminta perdana menteri meletak jawatan mengikut undang-undang, kita boleh menerimanya," jelas beliau lagi.

Jika semua pihak menganjurkan perhimpunan mengikut undang-undang, maka polis akan membantu mempermudahkannya, tambahnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan penganjuran BERSIH 5.0 di tengah-tengah ledakan isu tindakan perundangan sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat ke atas 1MDB.

Sebelum ini, Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah mengesahkan suatu perhimpunan sedang dirancang berikutan perkembangan terbaru dengan saman sivil berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat.

Maria berkata, pihaknya bersetuju bahawa sekarang adalah masa yang tepat untuk satu lagi perhimpunan tetapi berkata, kumpulan reformasi pilihan raya itu sedang dalam proses perbincangan.

"Proses BERSIH adalah kita perlu berbincang dengan NGO sebelum membuat sebarang keputusan, yang pasti agenda itu di atas meja kami," jelas Maria lagi.

Terdahulu, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mencadangkan agar rakyat Malaysia mengadakan perhimpunan aman untuk menuntut peletakan jawatan Najib.

Sementara itu, jika BERSIH 5.0 diadakan, seorang pemimpin Umno berjanji akan membawakan Himpunan Baju Merah versi kedua untuk berdepan dengan mereka.

Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos berkata, jika ia berlaku, dianggarkan lebih 300,000 orang akan turun dan "memerahkan Kuala Lumpur" pada hari berkenaan.

"Perhimpunan itu akan diadakan pada tarikh dan waktu sama dengan program BERSIH," kata Jamal lagi.

Lihat Komen
ADS