Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan kes saman bekas ahli Umno Anina Saadudin berhubung sumbangan derma RM2.6 bilion yang diterima parti melalui akaun peribadi Presidennya Datuk Seri Najib Razak. 

Penangguhan itu dibuat susulan permintaan peguam Anina, Haniff Khatri Abdullah yang ingin membuat permohonan supaya mahkamah menetap semula rayuan di hadapan kuorum berlainan daripada kuorum yang ada pada hari ini.

"Kami dapati bahawa dua daripada tiga ahli kuorum Mahkamah Rayuan telah pun sebelum ini bersidang sewaktu rayuan Anina terhadap Tengku Adnan dan Abdul Raof dalam rayuan berhubung penamatan keahlian Ainina.

"Atas dasar tersebut dan prinsip undang-undang yang ada, (kita minta) supaya mahkamah tetap semula rayuan ini di hadapan kuorum berlainan dari kuorum tersebut.

"Perkara ini berlaku kerana pihak pendaftaran kadang-kadang perlu dimaklumkan tentang hakim-hakim yang telah dengar kes yang sama.

"Tak ada eligasi tentang ketidakbolehan untuk buat keputusan tetapi undang-undang membenarkan permohonan dibuat supaya satu fikiran yang bebas dapat dibuat daripada penilaian terdahulu dan dapat diutarakan. Oleh itu kes ditangguhkan dan rakan kami akan ke pendaftaran mahkamah rayuan untuk menetapkan tarikh lain seperti yang dijadualkan mahkamah kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Mahkamah Rayuan, Putrajaya hari ini.

Menurut Haniff, kuorum yang ada pada hari ini dihadiri oleh Hakim Datuk Lim Yee Lan dan beliau tidak pernah mendengar kes Anina sebelum ini.

Sebelum ini, kes Anina dihadiri panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk David Wong Dak Wah, Datuk Dr Badariah Sahamid dan Harmindar Singh Dhaliwal.

Ketiga-tiga hakim itu sebelum ini memutuskan secara sebulat suara menolak rayuan Anina untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pemecatannya.

Keputusan itu dibuat selepas mereka berpuas hati bahawa Seksyen 18(C) Akta Pertubuhan 1966 adalah undang-undang yang baik untuk diguna pakai.

Sehubungan itu, kuorum itu memutuskan, Mahkamah Tinggi betul ketika membatalkan saman bekas anggota Umno tersebut.

Pada Ogos tahun lalu, Anina dipecat daripada Umno selepas memfailkan saman terhadap Najib berhubung sumbangan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi presiden parti itu.

Anina kemudian memfailkan saman terhadap Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja parti Datuk Abdul Rauf Yusoh ekoran pemecatannya.

Lihat Komen
ADS