Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belum ada kata putus tentang BERSIH 5.0, kata Maria

Gabungan Pilihan Raya Adil dan BERSIH 2.0 hari ini berkata, pihak belum membuat keputusan muktamad berhubung ura-ura untuk mengadakan perhimpunan BERSIH 5.0.

Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah memberitahu Malaysiakini, gabungan itu belum memulakan perbincangan dengan kumpulan masyarakat sivil susulan perkembangan terbaru di Amerika Syarikat mengenai 1MDB.

"Saya tidak mengadakan apa-apa lagi (perhimpunan) jadi saya tidak tahu apa yang beliau (Ketua Polis Negara) katakan," jelas Maria ketika diminta mengulas mengenai amaran oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam.

"Kami (BERSIH 2.0) memerlukan lebih banyak masa. Kali ini, kami merancang untuk mengadakan secara perlahan-lahan.

"Pertama, kita akan melalui proses perundingan dengan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil," ujar Maria.

Ditanya sama ada BERSIH 2.0 akan mempertimbangkan untuk berhimpun di pusat pentadbiran Putrajaya dan bukannya Kuala Lumpur, Maria berkata: "Ia bergantung kepada apa tujuan kita lakukannya."

"Lebih penting bagi saya adalah objektif perhimpunan dan bukan tempat diadakan," katanya.

Semalam, Khalid berkata, BERSIH 2.0 tidak boleh mengadakan perhimpunan BERSIH 5.0 jika ia bertujuan menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kami tidak akan membenarkannya kerana ada cara untuk meminta perdana menteri meletak jawatan seperti yang dinyatakan dalam undang-undang," ujar Khalid semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur.

"Jika mereka meminta perdana menteri meletak jawatan mengikut undang-undang, kita boleh menerimanya," jelas beliau lagi.

Jika semua pihak menganjurkan perhimpunan mengikut undang-undang, maka polis akan membantu mempermudahkannya, tambahnya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS