Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan politikkan TRX, harga tanah melambung - PM

Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, harga tanah yang dibeli oleh Tabung Haji (TH) di Tun Razak Exchange (TRX) daripada syarikat 1MDB kini melambung, iaitu RM2,200 bagi setiap kaki persegi berbanding RM1,800 sebelum ini.

Justeru perdana menteri membidas sesetengah pihak yang sebelum ini didakwanya mempolitikkan isu tanah tersebut.

"Apabila Tabung Haji beli tanah TRX (ia) dijadikan isu. Tapi hari ini tanah yang dibeli Tabung Haji dengan nilai RM1,800 kaki persegi, saya tanya ketua pegawai eksekutif (TH) berapa (harga) sekarang ini.

"Dia kata, ada orang nak beli tanah yang sama, kepunyaan Tabung Haji dengan nilai RM2,200 kaki persegi.

"Maknanya (sekarang TH) dah untung. Yang jadi masalah ia dipolitikkan oleh sesetengah pihak," katanya dalam ucapan perasmian Yayasan TH di Hotel TH di Kelana Jaya, hari ini.

Sebelum ini beberapa pemimpin parti pembangkang mendakwa TH berdepan masalah dan kerugian apabila membeli sebidang tanah di tapak pembangunan TRX daripada syarikat milik penuh kerajaan, 1MDB.

Seorang daripada mereka ialah naib presiden yang juga Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

Kata Rafizi pembelian tanah itu menimbulkan unsur curiga kerana disyaki ia dibuat bagi membolehkan 1MDB menggunakan wang yang diperolehinya untuk untuk membiayai faedah daripada pinjamannya.

Ekoran dakwaan itu Pengerusi TH Datuk Sri Abdul Azeez Abdul Rahim mengumumkan mereka akan menjual tanah berkenaan sebagai menghormati sentimen serta sensitiviti pendeposit serta mengekalkan keyakinan orang ramai.

Bagaimanapun, Abdul Azeez yang juga anggota parlimen Baling menegaskan tiada sebarang salah laku dalam transaksi pembelian tanah itu.

Beliau juga mendakwa pada Mei tahun lalu, ada tiga tawaran diterima agensi berkenaan.

Sementara itu dalam sidang media, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah berkata pihaknya mengambil keputusan tidak menjual tanah terbabit kerana yakin ada keuntungan diperoleh daripada pelaburan itu untuk jangka panjang.

"Sejak mula pembelian (tanah) ini adalah suatu pembelian berdasarkan prosedur komersial.

"Kita buat penilaian dan kita lihat dari sudut perniagaan secara sedar kita mahu melabur.

"Semua pelaburan kita adalah untuk jangka masa panjang, bukannya jangka masa pendek," katanya.

Lihat Komen
ADS