Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng rayu PKR sokong pilihan raya mengejut
Diterbitkan:  Jul 26, 2016 4:29 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini merayu PKR supaya dapat membuat keputusan bersama-sama untuk menyokong diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang secara terbuka merayu kepada kepimpinan tertinggi PKR agar menerima rancangan mereka untuk mengadakan PRN.

"Saya rayu pemimpin PKR, bukan pemimpin di sini, tetapi yang lagi atas (pusat), buatlah keputusan bersama walaupun saya tahu mereka takut kurang kerusi," katanya dalam majlis penerangan Kerajaan Pulau Pinang yang bertajuk "Masa Depan Pulau Pinang".

Katanya, DAP juga bimbang akan perkara yang sama namun beliau mempunyai keyakinan terhadap rakyat Pulau Pinang.

"Saya tahu mereka (PKR) akan mengadakan satu mesyuarat esok dan berharap mereka akan menyokong cadangan kami," katanya.

Antara pemimpin yang menghadiri majlis penerangan itu ialah Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II Prof P. Ramasamy dan hampir seluruh barisan Exco kerajaan negeri.

Terdahulu, Lim mengumumkan bahawa AMANAH bersetuju menyokong PRN itu diadakan.

"Saya telah diberitahu Mat Sabu bahawa mereka akan menyokong cadangan PRN dan kini hanya menunggu keputusan daripada PKR," katanya.

Rabu lepas, Lim memberitahu sidang berita bahawa DAP akan memberi masa kepada rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PKR dan Amanah) untuk berbincang sebelum membuat keputusan mengenai PRN itu.

Cadangan mengadakan PRN itu berikutan tuduhan rasuah terhadap Lim.

- Bernama

Lihat Komen
ADS