Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Tatkala zaman maharaja-maharaja memerintah empayar yang luas, orang-orang suruhan yang dikasi digunakan sebagai pengawal istana.

Maharaja-maharaja itu memerlukan orang yang boleh dipercayai sepenuhnya untuk menjaga dan memelihara gundik-gundik dan perempuan-perempuan simpanan mereka. Sesetengahnya mempunyai lebih seribu perempuan simpanan.

Maharaja-maharaja itu tidak boleh percayai lelaki yang “lengkap” sebagai pengawal untuk memastikan perempuan-perempuan simpanan mereka tidak dicabuli kehormatan, ataupun menggunakan pengawal-pengawal itu untuk memenuhi nafsu.

Oleh itu, kaum sida ataupun “eunuchs” ini diciptakan untuk memenuhi keperluan maharaja-maharaja itu.

Sida-sida ini dikasi semenjak kecil lagi, dan disebarkan untuk bekerja dalam kawasan dalaman istana.

Oleh itu, kaum sida-sida ini mempunyai peluang untuk menjadi rapat dengan maharaja, gundik-gundiknya, dan juga penasihat-penasihat kanannya.

Peluang ini telah digunakan oleh sida-sida itu untuk mempengaruhi maharaja dan penasihat-penasihatnya dalam perkara-perkara dasar kerajaan, malah seringkali juga campur tangan dalam hal-hal kerajaan yang lain.

Inilah sebabnya kenapa sida-sida ini akhirnya memegang jawatan yang penting dalam empayar, dan juga mengaut harta yang banyak, di samping memegang kuasa yang besar.

Saya menerangkan semua ini supaya senang untuk anda menerangkan kepada orang lain (terutama sekali warganegara asing) kenapa Datuk Seri Najib Razak masih lagi maha berkuasa.

Najib, maharaja tersohor abad ke-21 ini, telah berjaya melaksanakan apa yang hanya dapat diimpikan oleh orang lain, iaitu menjadi perdana menteri terkaya di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Publisiti buruk berbulan-bulan

Najib berjaya menahan publisiti buruk media global berbulan-bulan lamanya.

Meskipun tindakan Jabatan Kehakiman AS baru-baru ini (yang menerangkan secara terperinci modus operandi untuk mengebas lebih AS$3.5 bilion), beliau masih lagi menikmati sokongan penuh anggota-anggota kabinet, partinya, perkhidmatan awam, polis, pemberita media arus perdana dan penulis blog, serta juga pihak kehakiman dan anggota parlimen.

Bagaimanakah fenomena ini dapat dijelaskan?

Kita tidak boleh menyalahkan sepenuhnya pihak pembangkang yang lemah dan huru-hara. Tidak adil juga mengharapkan “kemarahan” rakyat biasa sehingga mendorong mereka berarak di jalan raya untuk mendesak agar Najib digantikan.

Ini di kala ramai antara mereka hanya menyara hidup dengan menjual nasi lemak atau bekerja sebagai buruh am.

Kehidupan harian untuk ramai rakyat Malaysia susah. Mencari makanan dan duit tambahan untuk membayar tol seharusnya dianggap lebih penting daripada melibatkan diri dalam pergolakan politik.

Sebab sebenar mengapa Najib kekal sebagai perdana menteri, meskipun ketika segala yang telah berlaku, ialah kejayaannya mewujudkan barisan sida-sida yang panjang untuk melayaninya.

Sida-sida ini berbeza daripada satu sisi– bebola testikel mereka masih melekat – akan tetapi selain daripada itu, sifat-sifat mereka adalah sama.

Najib tidak mengasi mereka tetapi telah mengambil sesuatu yang lebih penting kepada seorang insan; beliau telah merampas maruah dan harga diri mereka.

Dan meletakkan pula perasaan takut dan gentar ke dalam mereka sehinggakan mereka akur dan mencium tangannya dan berjanji untuk setia kepadanya, selamanya.

Seperti Louis XIV di Perancis

Mereka akan melakukan apa sahaja dan segalanya untuk beliau; mereka gerun akan diri beliau, dan merasakan diri mereka umpama kosong tanpa restu dan rahmatnya.

Pembelaan beramai-ramai mereka untuk “maharaja” memberikan mereka perasaan kekitaan, dan mereka diberikan ganjaran yang besar untuk semangat mereka itu.

Akan tetapi, sida-sida zaman sekarang memerlukan berjuta-juta ringgit untuk memuaskan kerakusan, dan ada juga yang diberikan pingat dan gelaran yang biasanya dihadkan hanya kepada pihak yang berbakti kepada negara secara luar biasa dan untuk jangka masa yang lama.

Sida-sida ini tidak berkhidmat untuk kerajaan, atau berbakti untuk negara. Mereka tidak melihat perbezaan (mahupun memahami) konsep moden pembahagian antara ketua kerajaan dan negara.

Mereka tidak nampak perbezaan antara kebenaran dan kebatilan.

Mereka tidak melihat keperluan untuk ketua kerajaan bertanggungjawab ke atas tindak lakunya kepada sesiapa, kerana kepentingan maharaja adalah sinonim dengan keperluan negara, seperti yang dipraktikkan oleh Louis XIV di Perancis.

Oleh itu, hukum undang-undang adalah wajib, tetapi tidak boleh dikenakan kepada si maharaja jika ia membuatkan beliau lemah atau rugi.

Sida-sida moden ini sentiasa bersedia untuk mati demi maharaja mereka. Bagi mereka menipu adalah perkara kecil, selain berhelah dan berlagak umpama dunia ini dipenuhi dengan manusia yang dangkal dan bodoh.

Persoalannya bagaimana dengan kita? Adakah kita menyayangi negara kita ini secukupnya, dan adakah kita mempunyai cukup kekuatan untuk berdiri menentang sida-sida ini tanpa gentar?

Jika ya, maka masih ada lagi harapan, tetapi lebih cepat kita bertindak, lebih baik.

Kota London telah dimusnahkan oleh kebakaran, 350 tahun dahulu, tetapi ianya dibina semula dengan usaha hebat rakyat British.

Negara kita kini dimusnahkan juga, bukan dengan kebakaran tetapi dengan pengasian. Saya berharap rakyat Malaysia akan bangun, untuk membina negara ini sekali lagi.


DATUK ZAID IBRAHIM bekas menteri undang-undang. Artikel ini disiarkan kali pertama di blog beliau The Zaidgeist.

Lihat Komen
ADS