Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
McDonald AS lepaskan hak francais di M'sia, S'pura
Diterbitkan:  Jul 26, 2016 5:52 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

McDonald Corp dari Amerika Syarikat merancang untuk menjual hak francais yang dipegang selama 20 tahun di Malaysia dan Singapura yang mana membolehkan syarikat itu memperolehi sekurang-kurangnya AS$400 juta atau bersamaan RM1.6 bilion.

Memetik individu yang mempunyai maklumat tentang perkara itu, pihak yang berminat dengan operasi makanan segera di kedua-dua negara bagi pasaran Asia Tenggara tersebut telah mula mendapatkan bantuan kewangan daripada pihak bank, lapor Bloomberg.

Menurut individu yang tidak dinamakan itu, pembida yang berpotensi kini sedang berunding supaya mendapat pinjaman sebanyak AS$300 juta.

McDonald kini mencari rakan kongsi francais tempatan untuk mengendalikan restorannya di Malaysia dan Singapura sebagai sebahagian daripada 'pelan pemulihan antarabangsa' selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya Steve Easterbrook mengambil alih syarikat makanan segera itu tahun lalu.

Restoran makanan segera yang mempunyai nilai pasaran AS$112 bilion itu sedang menyusun semula model pemilikannya di seluruh Asia.

Ia termasuk merancang untuk menjual operasinya di China, Hong Kong dan Korea Selatan.

Selain itu, dalam satu jawapan emel kepada Bloomberg, jurucakap bagi syarikat itu yang berpangakalan di Singapura berkata, McDonald telah mengguna pakai 'model pembangunan pemegang lesen' bagi kedua-dua pasarannya di Malaysia dan Singapura.

Syarikat itu kini sedang berunding dengan calon 'yang sanggup memberi komitmen untuk membantu memacu pertumbuhan dan inovasi di Malaysia dan Singapura', kata jurucakap itu.

Tidak seperti pasaran utama yang lain- termasuk di Amerika Syarikat- kebanyakan cawangan McDonald di Asia merupakan milikan syarikat.

Rangkaian syarikat itu kini menyasarkan 95 peratus daripada restorannya di rantau ini berada di bawah milikan tempatan.

McDonald mempunyai lebih 120 restoran dengan kira-kira 9,000 pekerja di Singapura, menurut laman web tempatannya.

Di Malaysia, rangkaian restoran itu mengendalikan lebih 250 restoran.

Lihat Komen
ADS