Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pemuda Umno biadap, kurang ajar ugut pegawai k'jaan'
Diterbitkan:  Jul 27, 2016 12:56 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Laporan polis pemimpin Pemuda Umno terhadap pegawai dan bekas pegawai kanan kerajaan dianggap sebagai ugutan terhadap kakitangan kerajaan.

Terkejut dengan langkah itu, ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata “tuduhan jahat” dilemparkan itu biadab dan kurang ajar kerana pihak yang dituduh banyak berjasa pada negara.

“Saya menganggap tuduhan terhadap tiga orang penting negara selama ini adalah satu serangan dan ugutan politik terhadap pegawai dan kakitangan kerajaan seluruhnya.

“Tuduhan jahat terhadap Abu Kasim, Zeti dan Ghani adalah ugutan untuk kakitangan kerajaan kena ikut telunjuk Umno,” katanya.

Naib Ketua Umno Khairul Azwan Harun semalam membuat laporan polis terhadap bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Khairul Azwan mendakwa ketiga-tiga individu itu dipercayai terbabit konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan dengan memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar, termasuk kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS).

Jabatan Kehakiman AS sedang memulakan saman untuk menyita aset berkaitan 1MDB dan mendakwa sekurang-kurangnya AS$3.5 bilion wang rakyat Malaysia telah “dicuri”.

Dalam kenyataannya hari ini, Mahfuz mempertahankan penjawat dan bekas penjawat awam itu yang menurutnya banyak berjasa mengangkat martabat negara dari sudut ekonomi dan kewangan, perundangan serta memerangi rasuah.

“Nak harap pada akal Pemimpin Pemuda Umno dan Umno hanya tahu menjilat pemimpin menelan dedak atau sagon,” sindirnya.

Mahfuz juga berkata, tuduhan terhadap Abu Kasim, Zeti dan Gani itu adalah “pengisytiharan perang terhadap pegawai dan kakitangan kerajaan”.

“Pegawai dan kakitangan kerajaan bukan manusia yang boleh di cucuk hidung.

“Mereka ada akal yang hidup bukan seperti pemimpin Pemuda Umno dan Umno yang memiliki akal yang mati,” katanya.

Beliau juga berharap ketiga-tiga pihak itu tabah menghadapi cabaran di penghujung usia.

“Saya percaya apa yang anda telah laku hanya semata kerana cintai Malaysia.

“Apa yang anda lakukan didorong oleh keberanian kerana kebenaran dan apa yang dilakukan oleh Pemuda Umno dan Umno didorong oleh ketakutan kerana kesalahan,” katanya.

Lihat Komen
ADS