Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bloomberg: Unsur khianat dalam pengambil-alihan EON bank?
Diterbitkan:  Jul 27, 2016 1:22 PM
Dikemaskini: 5:26 AM

Goldman Sachs Group Inc yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat yang terjerumus dalam kemelut membabitkan 1MDB kini berdepan satu lagi episod kekalutan dalam operasinya di negara ini.

Menurut laporan Bloomberg, Goldman Sachs dan bekas pengarah urusannya, Tim Leissner didakwa mengkhianati tugas sebagai penasihat kewangan EON Capital Bhd, firma kewangan yang diambil alih oleh Hong Leong Bank Berhad dalam urusniaga bernilai AS$ 1.7 bilion pada bulan Mei 2011.

"Goldman menggunakan maklumat sulit EON untuk membantu bank berkenaan membuat pembelian pada harga lebih rendah walaupun menyedari adik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah dan seorang lagi adiknya mempengerusikan firma pelaburan, Primus Pacific Partners 1 LP," menurut laporan tersebut.

Aduan yang difailkan di Mahkamah Agung New York melibatkan kes Primus Pacific Partners 1 LP lawan Goldman Sachs Group Inc, petik laporan Bloomberg itu.

Tuntutan undang-undang tersebut diambil susulan penganjuran aktiviti pengumpulan dana Goldman bagi pihak 1MDB yang menarik perhatian pihak pendakwaraya Amerika, kata laporan itu.

"Dalam aduan yang difailkan minggu lalu, mereka menunjukkan bagaimana lebih daripada AS$2 bilion yang dijana oleh Goldman untuk 1MDB disalurkan oleh individu yang mempunyai hubungan politik ke dalam pelbagai projek termasuk penerbitan filem Hollywood, pembelian lukisan terkenal dan jet Bombardier," katanya.

Tanpa menuding jari menyalahkan bank itu, aduan pendakwa raya menunjukkan dokumen yang diedarkan oleh Goldman sebelum jualan bon adalah mengelirukan.

Leissner adalah bekas naib pengerusi operasi Goldman di Asia yang menjadi bank teraju dalam urusniaga 1MDB.

Beliau meletak jawatan dari Goldman selepas diarahkan bercuti pada bulan Januari lalu berikutan 'kenyataan tidak tepat dan tidak dibenarkan" dalam surat rujukan, mengikut rekod pihak berkuasa Kawal Seliaan Industri Kewangan.

Najib pula, bersama-sama Leissner tidak dituduh melakukan sebarang kesalahan dalam aduan di Amerika itu.

Primus Pacific yang adalah pemegang saham terbesar EON selepas pembelian kepentingan lebih 20 peratus pada 2008 tidak berjaya dalam saman sebanyak dua kali untuk menyekat jualan bank itu dengan alasan harga pengambil alihan Hong Leong adalah terlalu rendah.

"Plaintif sebelum ini kalah dalam penghakiman di mahkamah Malaysia bagi menghentikan urusniaga pada tahap penerbitan, sebelum ia kemudiannya diluluskan oleh pemegang saham," kata Andrew Williams yang menjadi jurucakap Goldman dalam satu kenyataan, petik laporan Bloomberg.

Beliau menganggap saman tersebut sebagai 'tersasar'.

Lihat Komen
ADS