Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR juga tak sokong p'raya Guan Eng, kata Umno
Diterbitkan:  Jul 27, 2016 1:19 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman menyifatkan keengganan PKR untuk bersetuju dengan rancangan pilihan raya mengejut Pulau Pinang sebagai tamparan hebat kepada Lim Guan Eng dan DAP.

Malam tadi, Presiden PKR, YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekali lagi mengulangi ketidak yakinan parti itu terhadap cadangan Lim dan DAP untuk mengadakan pilihan raya negeri lebih awal.

"Ini merupakan satu tamparan hebat kepada ego Lim dan DAP yang masih gagal mendapatkan sokongan rakan sekutu utama mereka bagi mengadakan pilihanraya negeri lebih awal.

"Kegagalan Lim meyakinkan sekutu politiknya untuk menyokong cadangan beliau mencalar maruah dan kredibilitinya sebagai setiausaha agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Ia juga menghakis keyakinan dan hormat rakyat terhadapnya sebagai seorang pemimpin utama pakatan parti pembangkang," ujar Zainal Abidin dalam kenyataannya, hari ini.

Sambil berpendapat cadangan pilihan raya mengejut itu sebagai langkah tergesa-gesa dan terburu-buru dalam keadaan panik setelah Lim dihadap ke mahkamah, kata beliau, 10 ahli dewan undangan negeri (ADUN) Barisan Nasional Pulau Pinang tidak bersetuju cadangan itu.

"Bersandarkan keputusan Pusat PKR semalam, bermakna 10 ADUN PKR Pulau Pinang belum bersetuju dengan pembubaran segera dewan undangan negeri, PAS yang mempunyai seorang ADUN juga tidak bersetuju.

"Oleh itu, kita boleh menganggap hanya 19 ADUN DAP sahaja yang menyokong cadangan tersebut setakat ini," katanya lagi.

Dengan berdasarkan kiraan 21 daripada 40 orang ADUN yang tidak bersetuju dan hanya 19 ADUN lagi menyokong cadangan berkenaan, boleh dirumuskan Lim hilang kepercayaan majoriti ADUN Pulau Pinang dan sedang menghadapi krisis keyakinan dan kepercayaan terhadap dirinya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, tambah Zainal Abidin.

Jelas sekali, percubaan Lim untuk mengheret rakyat ke dalam masalah peribadi dengan cadangan membubarkan dewan undangan negeri telah ditolak, katanya.

Justeru, berdasarkan perkembangan terkini tersebut, Lim harus mengambil tindakan bermaruah dan berintegriti dengan melepaskan jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang dengan segera.

Lihat Komen
ADS