Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pokemon ditangkap dalam sidang media anti-Pokemon
Diterbitkan:  Jul 27, 2016 3:28 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Ia sesuatu yang ironi apabila Pokemon ditangkap semasa sidang akhbar anti-Pokémon Go di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.

Pokemon itu berada di sebelah Presiden Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup ketika beliau berkata kepada pemberita mengenai keperluan menghentikan permainan itu daripada memasuki Malaysia.

"Saya hanya mahu melihat jika ada Pokemon akan muncul pada sidang media dan memang betul ada satu.

"Jadi saya mendapat Krabby," kata pemain Pokemon Go yang enggan dikenali kerana menggunakan versi permainan itu yang telah digodam.

Rani bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa menghalang permainan itu daripada memasuki Malaysia atas sebab-sebab keselamatan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak Isnin lalu berkata tiada bantahan atau sekatan terhadap aplikasi itu di Malaysia.

Rani berkata permainan itu adalah "mengasyikkan" dan boleh menimbulkan bahaya keselamatan sehingga menyebabkan kemalangan dan kehilangan nyawa.

Beliau menambah permainan itu juga akan memudaratkan bagi pelajar sekolah dan melalaikan mereka.

Rani, yang berpakaian separa tentera, turut disertai oleh Amir Amsaa Alla Pitchay dari Parti Ikatan Rakyat Muslim Malaysia bersama 10 penyokong mereka.

Amir Amsaa menggesa kerajaan menghentikan permainan itu dan mahu menghantar memorandum kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia minggu depan untuk membuat bantahan.

Pokemon Go telah dikeluarkan di Amerika Syarikat, Australia, Jerman dan Britain bagi versi Android dan iOS tetapi belum dikeluarkan di Malaysia.

Lihat Komen
ADS