Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan nafi kenyataan berkaitan ringgit, larangan azan
Diterbitkan:  Jul 27, 2016 6:02 PM
Dikemaskini: 11:19 AM

Sultan Johor menafikan mengeluarkan kenyataan berkaitan kejatuhan nilai ringgit dan khabar angin kononnya permaisuri negeri menitahkan larangan ke atas 'solat' dan 'laungan azan'.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal susulan pelbagai kenyataan tidak wajar yang tersebar di laman sosial, yang didakwa mempunyai kaitan dengan baginda atau pejabat baginda.

Baginda melihat tindakan itu sebagai fitnah yang patut dikecam.

“Kita hidup di zaman media sosial, dan kami, keluarga diraja, menggunakan ia sebagai perantara untuk mendekati dan berhubung dengan warga Bangsa Johor.

“Namun demikian, akan ada yang akan menyalahgunakan saluran media untuk mendapat perhatian,” titah baginda di Facebooknya.

Baginda merujuk sebuah tulisan yang bertajuk “Terkini ringgit jatuh RM4.4” serta khabar angin kononnya permaisuri Johor menitahkan larangan ke atas 'solat' dan laungan 'azan'.

"Publisiti murahan oleh individu ini amat menyakiti dan mendukacitakan isteri saya," titah baginda lagi.

Justeru, sultan Ibrahim menggesa pengguna maya supaya memeriksa kesahihan sesuatu perkara yang berada di laman sosial.

Katanya lagi, sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana anggota keluarga diraja Johor hanya akan dilakukan melalui laman rasmi akaun Facebook mereka.

"Semakin sensasi dan bersifat menghasut sesuatu berita itu, lebih lagi ia menuntut anda - pembaca yang bijak bestari - untuk lebih berwaspada tentang punca dan niat buruk seseorang itu," titah sultan Johor.

Sementara itu, polis dilapor memandang serius laporan orang awam berhubung penyamaran pihak tertentu sebagai Sultan Ibrahim, di Johor Bahru, malam semalam.

Penyamaran di blog

Ketua Polis negeri, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata penyamaran itu membolehkan pihak berkenaan mengeluarkan kenyataan mengelirukan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui blog suarakamibaru.blogspot.my.

"Tetapi, berdasarkan siasatan yang dilakukan kemudian, Sultan Johor tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sebagaimana yang terdapat di dalam blog berkenaan,” beliau dipetik sebagai berkata oleh bernama.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, polis menyiasat kes tersebut bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Wan Ahmad Najmuddin menyifatkan penyamaran seperti itu boleh mengganggu ketenteraan awam dan orang ramai dinasihatkan agar tidak menyalah guna aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan palsu dan menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.

Sementara itu, semakan Malaysiakini lewat petang ini mendapati blog itu tidak memuatkan lagi sebarang kandungan atau mungkin telah dipadam.

 

Lihat Komen
ADS