Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengurup wang yang ditembak maut di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang Kuala Lumpur hari ini baru dua minggu membeli kereta baharu setelah mendapati ada pihak mengekorinya, menurut seorang rakan mangsa.

Rakan yang enggan dikenali itu berkata mangsa yang menjalankan perniagaan itu sejak kira-kira 10 tahun lepas, sebelum ini menggunakan Toyota Camry.

"Baru dua minggu dia beli kereta baharu jenis Honda Accord. Dia tukar kereta setelah mendapati ada pihak tertentu memantau pergerakannya," katanya kepada Bernama.

"Saya jumpa mangsa sebulan lepas di sebuah hotel di Jalan Ipoh dan dia tidak mengadu tentang apa-apa masalah (ketika itu). Kelakuan dia seperti biasa," katanya.

Menurut polis, mangsa maut serta-merta dalam kejadian 3.35 petang itu yang menyaksikan 18 das tembakan - 10 daripadanya mengenai mangsa - dilepaskan dua penembak yang merupakan pembonceng dua motosikal.

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, badan serta paha. Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Seorang saksi kejadian berkata bunyi tembakan bertalu-talu yang didengari ketika kejadian disangkakannya bunyi mercun.

"Saya ingatkan hanya bunyi orang main mercun, tak sangka pula ia datang dari tembakan yang bertalu-talu," kata saksi yang hanya ingin dikenali sebagai sebagai Sazwan.

Sazwan berkata beliau dan dua rakan sedang minum petang di gerai berhampiran tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan sejurus selepas itu orang ramai bergegas mengerumuni kereta mangsa.

"Saya terkejut apabila mendekati kereta itu, terdapat banyak kesan tembakan. Saya nampak pemandu kereta seorang lelaki dah terkulai dengan kesan tembakan pada badannya," katanya.

Beliau berkata tiada penumpang dalam kereta berkenaan.

Katanya sejurus kejadian, orang awam menghubungi polis yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.

-Bernama

Lihat Komen
ADS