Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bas terbalik ketika turun Genting Highlands
Diterbitkan:  Jul 28, 2016 7:36 AM
Dikemaskini: Jul 28, 2016 7:58 AM

Seorang pemandu bas pelancong maut manakala 25 penumpang warga China terselamat selepas bas dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 17.2, ketika menuruni dari Genting Highlands menuju Kuala Lumpur malam tadi.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Engku Fadzir Engku Man berkata pemandu bas berusia 66 tahun itu tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pasukan bomba mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan hidraulik," katanya ketika dihubungi Bernama.

Engku Fadzir berkata mangsa yang maut dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

"Lima belas penumpang yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan manakala 10 lagi dibawa pulang ke hotel," katanya.

Beliau berkata bomba menerima panggilan mengenai nahas itu pada jam 7.19 malam, sebelum sebuah jentera dengan tujuh anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

Sementara itu, tiga pelancong warganegara China yang terlibat dalam kemalangan bas itu masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata mereka ialah Wei Quanying, 45, yang retak tulang pinggul, Zhang Aihua, 41, kerana mengalami kecederaan di kepala dan tengkuk serta Chen Jing, 38, yang disahkan patah kaki kanan.

"Bas yang terlibat membawa 25 penumpang termasuk empat kanak-kanak selain seorang pemandu pelancong. Selepas kemalangan, 15 daripada mereka dibawa ke HKL bagi rawatan dan pemeriksaan manakala bakinya dibenarkan pulang ke hotel di Petaling Jaya.

"Siasatan mendapati bas itu melantun secara tiba-tiba semasa melalui selekoh sebelum hilang kawalan menyebabkannya terbalik dan melanggar tembok pemisah jalan sehingga bas rosak teruk pada bahagian kanan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau menambah bas milik syarikat HTC Travel itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan bertolak dari Stesen Skyway di Genting Highlands pada 6.15 petang.

Mohamad Mansor berkata mereka yang turut terlibat dalam kemalangan itu ialah Yang Hengchun, 68, Zhang Shentai, 65, Yang Mingfang, 58, Xu Guanqun, 55, Liu Rongming, 51, Wang Zhongwei, 46, Wei Aiming, 41, Liang Lumin, 40, Zhang Yan, 39, Chen Jing, 38, dan Ye Juan, 31.

Turut terlibat Sun Yurong, 29, Shi Wei, 27, Zou Yingxia, 27, Zuo Jiangang, 27, Xu Yifeng, 24, Wei Jiayu, 18, Wang Ziyi, 17, Wan Xilai, 10, Liang Chinhao, 8, Sun JingJia, 6 dan Zao Haoting, 4.

Katanya pemandu pelancong Yap Poh Chin, 37, yang beralamat di Jinjang Utara, Kuala Lumpur bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Kemalangan yang berlaku pada 7.15 malam semalam juga menyebabkan pemandu Tan Ching Kok, 50, yang berasal dari Kampar, Perak meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.

Mohamad Mansor menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

- Bernama

Lihat Komen
ADS