Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Anggota parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hari ini mempersoalkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang hanya membatalkan kenaikan kadar parkir di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

"Ia merupakan satu tindakan yang terburu-buru dan tiba-tiba kami dapati terdapat pembatalan (untuk menaikkan kadar parkir) di TTDI.

"Manakala di tempat lain seperti di Bangsar, Kepong dan Sri Hartamas, kadar parkir kekal dinaikkan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada DBKL yang ditandatangani 800 penduduk Lembah Pantai bagi membantah kenaikkan caj parkir berkenaan.

DBKL pada 18 Julai lalu menaikkan caj tempat letak kereta yang mana RM2 akan dikenakan bagi jam pertama manakala RM3 bagi jam kedua.

Dua hari kemudian, kenaikan caj itu dimansuhkan di kawasan TTDI.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata DBKL akan mengkaji semula caj yang dinaikkan di kawasan yang didiami golongan kelas pertengahan seperti di Bangsar, Sri Hartamas dan Kepong dalam masa dua atau tiga hari lagi.

Tujuan langkah menaikkan caj parkir tersebut untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Selain itu, Nurul Izzah yang memandu keretanya sendiri ke DBKL hari ini berkata, walaupun tindakan pihak berkuasa untuk mengurangkan kesesakan namun kapasiti pengangkutan awam sedia ada masih tidak mencukupi.

Katanya, sekiranya DBKL ingin orang ramai menggunakan pengangkutan awam, sistemnya perlu diperbaiki terlebih dahulu.

"Jika anda mahu orang ramai menggunakan pengangkutan awam, anda perlu menangani peningkatan pengguna.

"Kita menyokong untuk menggunakan pengangkutan awam tetapi kami mahu ia menjadi satu dasar holistik yang turut merangkumi penglibatan pihak berkepentingan termasuk anggota parlimen," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS