Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri nafi dakwaan TMJ, Felda tak lari tujuan asal
Diterbitkan:  Jul 28, 2016 3:51 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan Tuanku Mahkota Johor bahawa Felda sudah tersasar daripada matlamat asalnya untuk membasmi kemiskinan.

“Felda tidak pernah lari pun daripada landasan asalnya. Felda daripada asalnya, menyusun semula masyarakat, memberikan tanah kepada orang Melayu yang tidak ada tanah untuk tingkatkan pendapatan mereka dan sebagainya.

“Bukan bermakna Felda itu berniaga ia lari daripada tujuan asal. Felda satu ketika dahulu, sewaktu ditubuhkan, mendapat bantuan, sokongan kewangan daripada kerajaan,” kata Ismail ketika ditemui di Seminar Gagasan Pemikiran Tun Abdul Razak di Putrajaya.

Semalam, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas Felda kerana menyalahgunakan wang peneroka bagi kepentingan individu tertentu, dan mempersoalkan keperluan agensi kerajaan sepertinya menubuhkan pasukan bola sepak.

"Pada hari ini, wang yang sepatutnya digunakan oleh peneroka telah dibelanjakan secara sewenang-wenangnya untuk kontraktor tertentu dalam Felda dan juga membolehkan beberapa individu yang memegang jawatan tinggi dalam Felda membuat wang.

 

“Ini adalah kes yang jelas penyelewengan dana yang diperuntukkan untuk golongan miskin,” katanya dalam wawancara diterbitkan di laman Facebook pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ismail bagaimanapun, berkata Felda seperti juga agensi kerajaanm perlu mencari pendapatan sendiri.

“Sebab itulah perlunya adakan perniagaan kerajaan dan sebagainya,” katanya seperti dilapor portal Free Malaysia Today.

“Felcra dulu ditangung sepenuhnya oleh kerajaan dan kerajaan minta Felcra cari pendapatan sendiri supaya kerajaan tak perlu tanggung,” katanya merujuk sebuah lagi program membantu masyarakat luar bandar.

Lihat Komen
ADS