Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Komitmen Islam, Palestin punca Malaysia diintai
Diterbitkan:  Jul 28, 2016 4:58 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Komitmen negara kepada dunia Islam, sikap berkecuali kepada kuasa besare dan sokongan kepada Palestin didakwa menjadi punca mengapa Malaysia sentiasa diintai pihak tertentu untuk campur tangan, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua penerangan Umno itu berkata perkembangan membabitkan perebutan wilayah di Laut China Selatan turut menjadikan "negara kita yang kecil ini" diperhatikan.

Mengulangi penerangannya mengenai serangan ditujukan ke atas kerajaan, Annuar berkata mereka juga memahami "keupayaan, pengalaman dan kepandaian" bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam selok-belok konspirasi" menewaskan musuh politiknya.

Justeru Annuar mengajak ahli Umno dan pemimpin di semua peringkat meningkatkan perpaduan dan solidariti, selain berhati-hati dengan setiap perkembangan semasa.

"Yang pasti kita bersatu teguh dan beristiqamah di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kepimpinan Najib kian diperhatikan ekoran saman sivil dikemukakan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS untuk menyita 17 aset yang didakwa diperoleh melalui penyelewengan dana 1MDB.

Nilai aset itu dianggarkan bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM4 bilion).

Dalam dokukmen setebal 136 halaman itu beberapa nama disebut, termasuk anak lelaki Datin Seri Rosman Mansor, Riza Aziz.

Dana itu, dakwa DOJ, digunakan untuk membeli pelbagai aset seperti lukisan Vincent van Gogh, serta membiayai kegiatan perjudian.

Seorang individu lain turut disebut tetapi tiada butiran mengenainya diberikan kecuali dia hanya dikenali sebagai Malaysian Official 1. (MO1) Setakat ini belum ada pengesahan siapakah MO1  yang disebut 36 kali dalam dokumen berkenaan.

Dr Mahathir buat apa saja

Annuar berkata Umno akan lebih berhati-hati meneliti setiap isu yang dibawa, terutama apabila ia datang dari negara luar yang memiliki rekod "suka campur tangan dalam hal ehwal negara lain".

"Kita sedar komitment kita kepada dunia Islam, sikap berkecuali terhadap kuasa besar, keakraban kita dengan negara seperti China dan Russia, serta pendirian teguh kita menyokong Palestin dan menolak Israel adalah antara punca negara kita yang kecil ini sentiasa diintai negara tertentu dan menunggu peluang masuk campur.

"Ini lebih-lebih lagi dengan perkembangan terkini membabitkan perebutan kuasa di Laut China Selatan," katanya.

Pada masa sama kata Annuar Umno menyedari kemampuan Dr Mahathir yang didakwanya berdendam selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir diketepikan daripada kedudukan tinggi dalam Umno.

Katanya, Dr Mahathir sanggup melakukan apa saja untuk mencapai hasratnya.

Justeru kata Annuar Umno perlu berhati-hati supaya tidak terperangkap dalam percaturan besar Dr Mahathir untuk merampas kuasa dalam Umno.

"Kita percaya kaedah matlamat menghalalkan cara yang menjadi trademark Dr Mahathir selama ini akan terus dipergunakannya.

"Dalam menangani episod terbaru berkaitan 1MDB yg kini melibatkan AS kita perlu meneliti the big picture (gambaran besar) dari semua sudut agar kita tidak terburu-buru dan terperangkap dalam usaha sengaja mencari salah dengan niat tertentu bagi membina persepsi dan prasangka buruk.

Perbuatan itu - walau amat dicela agama - merupakan satu kebiasaan apabila mereka ada agenda tertentu," katanya.

Lihat Komen
ADS