Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perang gangster, peluru sesat jadi ketakutan - pakar

Beberapa kejadian keganasan berkaitan penggunaan senjata api yang melanda negara ini kebanyakannya adalah perang sesama kumpulan gangster, kata pakar.

Sementara sasaran ditujukan kepada samseng atau mereka yang mempunyai hubungan dengan kongsi gelap, terdapat kebimbangan atau ketakutan bahawa peluru sesat mungkin mengenai individu tidak bersalah.

"Jika peluru sesat mengenai orang ramai, ia boleh menjadi sangat berbahaya," kata pakar jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim kepada Malaysiakini.

Dr P Sundramoorthy dari Universiti Sains Malaysia bersetuju dengan pendapat itu tetapi berkata orang ramai tidak perlu terlalu bimbang mengenainya.

"Kita perlu mengambil berat, tetapi jangan hidup dalam ketakutan," kata Sundramoorthy.

Berbeza dengan Sundramoorthy yang lebih positif dengan keadaan semasa, Shahul Hamid berkata orang ramai wajar lebih berhati-hati.

"Orang ramai perlu bimbang, mereka (penjenayah) menjadi lebih berani dengan menembak di khalayak ramai," kata Shahul Hamid.

Beliau juga berkata terdapat kebimbangan pembunuh upahan diupah kerana dendam, atau kes-kes lain di mana seseorang mungkin mahu seseorang yang lain mati.

Bagaimanapun, Sundramoorthy menafikan tanggapan ini dengan mengatakan penggunaan penembak upahan adalah jarang dan menegaskan kes itu dilakukan anggota kumpulan samseng.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka bersetuju bahawa penguatkuasaan undang-undang perlu dipertingkatkan dan undang-undang berkaitan seperti Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) perlu digunakan untuk menangani jenayah .

Negara dikejutkan dengan banyak kes tembakan dalam tempoh dua bulan lalu, dengan kejadian terbaru berlaku semalam, apabila seorang anggota kongsi gelap didakwa ditembak mati di Setapak.

Lihat Komen
ADS