Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tambahan ‘cili’ pula ke atas perbalahan ‘bogel’ DAP-PKR
Diterbitkan:  Jul 28, 2016 5:11 PM
Dikemaskini: 11:34 AM

Seorang pemimpin Pemuda DAP menambahkan ‘kepedasan’ perbalahan di Facebook antara Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dan ahli jawatankuasa pusat PKR, Latheefa Koya.

“Siapa yang makan cili, dialah yang rasa pedas,” kata Pengarah Pendidikan Politik DAPSY, Chiong Yoke Kong.

Perumpamaan itu bermaksud mereka yang bersalah akan merasakan bahananya.

Beliau juga menafikan dakwaan Latheefa bahawa DAP membuat pengumuman unilateral tentang cadangan mengadakan pilihan raya negeri mengejut di Pulau Pinang.

“DAP tidak pernah mengumumkan pilihan raya mengejut secara sebelah pihak, malah ada sesetengah pihak yang bimbang untuk menghadapi pilihan raya telah membocorkan berita tersebut kepada media,” katanya dalam satu kenyataan media.

Chiong juga menolak kenyataan Latheefa bahawa DAP secara unilateral mengumumkan pembubaran Pakatan Rakyat dan pembentukan Pakatan Harapan.

Sebaliknya, menurut beliau, PAS yang membatalkan kerjasama politik dengan DAP pada Muktamar Dewan Ulama parti itu pada 6 Jun 2015.

Sebelum itu, DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“DAP hanya terpaksa menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak kekal lagi dan ini tidak sama dengan pembubaran Pakatan Rakyat secara sebelah pihak,” hujahnya.

“Tanpa penyertaan PKR Pakatan Harapan tidak mungkin dibentuk dan berita pembentukan tidak mungkin akan diumumkan.

“Sedangkan pelancaran Pakatan Harapan di Shah Alam pada 9 Januari lalu dirasmikan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.

“Adakah Latheefa Koya tidak memahami logik mudah sebegini?” soalnya.

Beliau juga membidas bekas ketua biro undang-undang PKR itu kerana mendakwa alasan DAP untuk mengadakan pilihanraya mengejut selalu berubah dan tidak konsisten.

“Berbeza dengan PKR yang selalu berubah dalam isu MB Selangor, DAP tidak pernah berubah dan memang bertekad untuk menggabungkan semua isu yang sedia ada untuk menghadapi pilihan raya negeri Pulau Pinang.

“Tidak ada konflik bagi parti untuk membangkitkan isu referendum terhadap Najib di samping memperoleh mandat rakyat seperti mana PKR cuba untuk mendapat mandat rakyat Permatang Pauh demi memanifestasikan sokongan rakyat kepada presiden PKR,” katanya.

Chiong menegaskan bahawa DAP sentiasa menyokong PKR dalam beberapa percaturan politik yang diajukan dan tidak seperti mana satu lagi kawan karib parti itu yang gemar menikam dari belakang.

“Sekali lagi DAPSY menasihati Latheefa Koya supaya membetulkan fakta dan tidak lagi melakukan serangan yang tidak berasas kepada rakan komponen parti.

“Sama-samalah kita memikul berat dan cabaran semasa politik ini dan bukannya bersikap umpama kacang lupakan kulitnya,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS