Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tok Pa: Operasi Lynas selamat, tiada peningkatan bacaan radiasi
Diterbitkan:  Jul 28, 2016 6:10 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Operasi Projek Lynas yang dijalankan Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng, Kuantan adalah selamat dan tidak meningkatkan bacaan radiasi atau membawa implikasi negatif kepada alam sekitar.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu dalam taklimat status terkini operasi syarikat itu yang telah beroperasi 100 peratus sejak tiga tahun lalu.

"Hasil pemantauan yang dijalankan 24 jam sehari menunjukkan operasi adalah selamat dan tiada peningkatan bacaan radiasi dalam lingkungan 1 ke 20 kilometer dari kilang Lynas.

"Projek Lynas juga tidak memberi implikasi negatif kepada penduduk sekitar atau alam sekitar. Jika benar dakwaan berlaku radiasi, sudah tentu kawasan perindustrian Gebeng tidak akan berkembang atau menjadi pilihan syarikat multinasional di sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd di Kuantan hari ini, selepas mengadakan lawatan kerja ke Kuantan yang melibatkan pertemuan dengan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, tokoh korporat, pemain industri dan pemimpin politik serta masyarakat.

Mustapa juga memaklumkan jumlah pelaburan projek Lynas ialah RM2.8 bilion dengan pengeksportan keseluruhan produk dikeluarkan.

Lynas juga buat masa kini sedang menjalankan ujian lapangan terhadap produk 'soil conditioner' yang dihasilkan daripada 'Water Leach Purification Residue' yang dijadual lengkap pada Julai tahun hadapan, tambah beliau.

"Saya telah mencadangkan kepada pengurusan tertinggi Lynas supaya mengadakan forum awam dalam masa terdekat untuk membuktikan cakap-cakap bahawa orang akan kena kanser, harga hartanah jatuh atau sebagainya tidak tepat dan mereka bersetuju," katanya.

Berhubung isu bauksit, Mustapa berkata beberapa tokoh korporat dan pemain industri berharap penambahbaikan dan penguatkuasaan yang baik akan dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri agar tidak menjejaskan iklim
pelaburan di Kuantan.

Secara keseluruhannya, Mustapa berkata beliau gembira dengan kemajuan dan pembangunan di Kuantan serta prestasi kerajaan negeri yang berjaya menarik peluang pelaburan dalam pelbagai industri termasuk kimia dan petrokimia di Gebeng.

Katanya, kejayaan itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, memaksimumkan penggunaan pelabuhan Kuantan dan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Pada lawatan itu yang bermula semalam, Mustapa turut meninjau perkembangan Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) yang akan memulakan operasi dengan kilang keluli di bawah Alliance Steel Sdn Bhd pada suku keempat 2017 dan akan membuka peluang pekerjaan kepada 3,515 orang.

Mustapa turut melawat projek pembangunan Terminal Laut Dalam Pelabuhan Kuantan (NDWT), iaitu projek usahasama kerajaan dengan Kuantan Port Consortium Sdn Bhd berjumlah RM4.1 bilion yang akan menaik taraf pelabuhan kepada pintu masuk utama ke rantau Asia Pasifik.

Beliau juga meninjau operasi syarikat penghasilan peralatan untuk industri minyak dan gas 100 peratus milik Bumiputera Asturi Metal Builders (M) Sdn Bhd dan BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd yang merupakan kilang Highly Reactive Polyisobutene pertama di Asia Tenggara yang merupakan usahasama dengan syarikat kimia terbesar dunia BASF dari Jerman.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS