Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan sampai cacing naik ke mata, kata MB N Sembilan

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi tempoh tiga bulan kepada pihak berkuasa tempatan untuk memerangi aktiviti judi siber di seluruh negeri itu.

Beliau berkata kewujudan pusat judi itu menyebabkan pelbagai masalah sosial di kalangan masyarakat termasuk peningkatan kes penceraian dan hutang isi rumah.

“Jadi, bagi saya kita mesti tangani isu ini lebih awal kerana bila lambat nanti kita juga yang susah, orang tua-tua kata jangan sampai cacing naik ke mata, naik ke mata nanti buta,” tegasnya sambil menambah beliau sendiri akan memantau perkembangan itu.

Kelmarin, kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan penguatkuasaan beberapa langkah drastik bagi memerangi aktiviti judi siber di seluruh negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

Mohamad berkata langkah itu termasuk tidak membenarkan premis yang digunakan atau disewa untuk aktiviti haram menjalankan perniagaan dalam tempoh tiga tahun selepas dikenakan tindakan.

Katanya, bekalan elektrik dan air juga akan dipotong selain notis bertulis ‘premis judi’ akan ditampal di bangunan berkenaan.

Menurutnya, ketika ini bandar-bandar seperti Seremban, Nilai dan Port Dickson adalah kawasan yang dilaporkan kritikal dengan masalah judi siber.

Namun katanya isu itu bukan sahaja berlaku di Negeri Sembilan, malah berleluasa di seluruh negara sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

"Sekarang ini masyarakat dah mula resah dan gelisah seolah-olah pihak kerajaan, pihak berkuasa dan polis serta PBT tidak ambil tindakan sedangkan mereka bertindak," katanya.

Lihat Komen
ADS