Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan kebenaran merayu Adnan Yaakob didengar 20 Sept
Diterbitkan:  Jul 29, 2016 5:52 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Mahkamah Persekutuan menetapkan 20 September untuk mendengar permohonan kebenaran merayu oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berhubung satu keputusan dalam saman fitnah beliau terhadap Utusan Melayu (M) Bhd.

Hakim Tan Sri Zaharah Ibrahim menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes hari ini dengan kehadiran peguam Amrit Kaur Bhal, yang mewakili Adnan, selain turut menyebut bagi pihak Utusan Melayu.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak supaya memfailkan penghujahan bertulis dua minggu sebelum pendengaran permohonan untuk kebenaran merayu.

Adnan memohon kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Utusan Melayu untuk membatalkan saman fitnah beliau terhadap syarikat berkenaan berhubung penerbitan artikel dalam Mingguan Malaysia di bawah tajuk, 'Hebat Sangatkah Adnan' pada 9 November 2014.

Utusan Melayu merayu selepas gagal dalam usahanya memohon Mahkamah Tinggi membatalkan tuntutan mahkamah itu pada 23 Julai tahun lepas.

Pada 1 Mac tahun ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Rohana Yusuf, Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Mary Lim memutuskan bahawa Adnan, selaku Menteri Besar Pahang dan wakil rakyat yang dipilih, tidak mempunyai locus standi untuk menyaman Utusan Melayu kerana fitnah atas kedudukan rasmi beliau berhubung artikel yang disiarkan oleh syarikat media.

Panel berkenaan turut menegaskan bahawa para pegawai awam perlu terbuka kepada kritikan umum, oleh itu tidak boleh mengemukakan saman terhadap media kerana fitnah atas kedudukan rasmi mereka.

- Bernama

Lihat Komen
ADS