Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guru diberi kebebasan tentukan proses pengajaran
Diterbitkan:  Jul 29, 2016 6:11 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Para guru diberikan kuasa autonomi dalam menentukan proses pengajaran dan pembelajaran secara kreatif di dalam bilik darjah tanpa bergantung kepada arahan Kementerian Pendidikan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata kebebasan sepenuhnya akan menggalakkan guru mengambil inisiatif bagi mencari penyelesaian terbaik kepada masalah yang dihadapi serta peningkatan pencapaian pelajar.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan kesemua 10,000 sekolah di seluruh negara dapat mencapai inisiatif membawa perubahan dalam bilik darjah sejajar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

"Matlamatnya adalah untuk membentuk suatu sistem tadbir urus kendiri yang mampu membuat pembaharuan dan membawa pencapaian ke tahap lebih tinggi.

"Kita mahu para guru berfikir lebih kreatif dalam proses pengajaran tanpa bergantung semata-mata kepada kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah," katanya dalam sidang media mengenai 'Pembangunan Profesyen Perguruan, Bermula Dari Bilik Darjah' di Putrajaya hari ini.

Menurut Amin, pihaknya akan mengurangkan secara beransur-ansur amalan mengeluarkan arahan kepada sekolah, sebaliknya hanya memberi sokongan serta masuk campur sekiranya ia melibatkan isu dasar.

Katanya, konsep mudah itu telah digunakan oleh pendidik dari Palestin, Haman Al Hroub, yang dinobatkan pemenang Anugerah Pendidikan Global 2016 Mac lepas di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

Katanya, setakat ini 1,178 sekolah di seluruh negara telah menggunakan pendekatan perubahan bermula dari bilik darjah dan daripada jumlah itu, 64 diiktiraf sebagai sekolah contoh mengamalkan budaya itu.

Kepada satu soalan, Amin berkata sememangnya ada perbezaan ketara dalam kalangan para pelajar apabila pendekatan itu digunakan, yang mana pelajar-pelajar terbabit lebih aktif, kreatif dan berani mengutarakan pendapat.

"Ini bukanlah sesuatu yang akan membebankan guru. Malah, pendekatan ini memberi kebebasan sepenuhnya kepada para guru untuk menentukan proses pengajaran mereka. Kita yakin ia akan membawa hasil positif walaupun memakan masa lama," katanya.

Dalam pada itu, Amin berkata kementerian turut menwujudkan konsep komuniti pembelajaran profesional yang merangkumi aktiviti-aktiviti kolaboratif antara pihak sekolah dengan pihak di luar komuniti sekolah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS