Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis ambil keterangan pemuda Umno dakwa konspirasi
Diterbitkan:  Jul 29, 2016 6:40 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Polis mengambil keterangan daripada Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun mengenai dakwaan konspirasi peringkat tinggi terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Khairul disoal di ibu pejabat polis Bukit Aman petang ini.

"Ya. Kami telah merakamkan kenyataan beliau. Tetapi saya tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut buat masa ini," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya sama ada Khairul menyerahkan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya, Khalid menjawab: "Saya akan mendedahkan lebih banyak semasa sidang akhbar saya yang seterusnya."

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, ini adalah satu tuduhan yang serius yang melibatkan individu terkemuka dan bekas pegawai kerajaan berpangkat tinggi.

"Kami akan mengkaji perkara itu dahulu, sebelum membuat sebarang komen atau keputusan mengenai siasatan ini," katanya.

Dalam laporan polis yang difailkan pada Selasa, Khairul menamakan bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka disyaki memberikan maklumat sulit kepada agensi-agensi asing, termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI), tanpa kebenaran.

Khairul juga mendakwa beberapa dokumen yang dikemukakan dipalsukan dan maklumat dipesong untuk mencapai agenda mereka.

Laporan itu dibuat berikutan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman sivil berkaitan dakwaan penyelewngan dana 1MDB.

Gani menyifatkan dakwaan pemuda Umno bagi mencari publisiti dan melantik bekas Presiden Badan Peguam Malaysia Ragunath Kesavan sebagai peguamnya.

Zeti berkata beliau akan mendapatkan nasihat undang-undang manakala Abu Kassim berjanji memberi respon terhadap perkara itu tidak lama lagi.

Lihat Komen
ADS