Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kadar baru parkir di KL mulai esok
Diterbitkan:  Jul 29, 2016 7:05 PM
Dikemaskini: 12:43 PM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini menetapkan kadar baru parkir seliaan DBKL di tiga kawasan di ibu negara merangkumi pusat bandar, luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan luar pusat bandar, berkuat kuasa esok.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata bagi pengguna di kawasan pusat bandar yang membuat bayaran secara tunai, caj RM1.50 dikenakan pada jam pertama dan RM2.50 pada jam kedua dengan tempoh parkir maksimum dua jam.

"Bagi kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi antaranya Sentul, Bangsar dan Brickfields, bayaran tunai dikenakan bagi jam pertama dan seterusnya hanya RM1.

"Sementara bayaran caj tunai bagi kawasan luar pusat bandar seperti Segambut, Taman Tun Dr Ismail, Setiawangsa, Sungai Besi dan Bandar Tun Razak pada jam pertama dan seterusnya ialah RM0.80," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Adnan berkata bayaran tunai tersebut melibatkan kaedah pembayaran menggunakan syiling, Touch 'N' Go dan aplikasi telefon bimbit.

Katanya melalui pengumuman kadar baru itu juga, DBKL dan kementeriannya turut menetapkan hanya kawasan pusat bandar mempunyai tempoh parkir maksimum dua jam berbanding sebelum ini melibatkan semua parkir awam di ibu kota.

Beliau berkata bagi pengguna parkir untuk jangka sederhana dan panjang, DBKL turut memperkenalkan sistem pembayaran secara pas bulanan yang dapat dilanggani secara dalam talian pada kadar amat berpatutan.

"Kadar bayaran pas bulanan di kawasan pusat bandar ialah RM300 sebulan, manakala kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan kawasan luar pusat bandar ialah RM150 sebulan.

"Ketiga-tiganya melibatkan tempoh pembelian dari satu hingga tiga bulan dan pembelian pas bulanan ini boleh dilakukan mengikut kesesuaian dan keselesaan pengguna tanpa perlu beratur atau ke lokasi-lokasi tertentu untuk membuat
pembelian," katanya.

Beliau berkata bagi petak khas pula, caj RM400 sebulan dikenakan di kawasan pusat bandar, RM240 di kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan RM200 di kawasan luar pusat bandar.

Katanya pelaksanaan kadar baru yang dinilai semula itu telah mengambil kira pelbagai keperluan pengguna dan berlandaskan prinsip 'menggerakkan orang awam, bukan sahaja kenderaan' (moving people, not just vehicles).

"Menjadi hasrat DBKL apabila seluruh perancangan terlaksana kelak, warga kota akan menikmati satu sistem aliran lalu lintas yang lebih lancar dan efisien," katanya.

Beliau berkata orang ramai yang ingin membuat pembelian pas bulanan dan mengetahui maklumat lanjut mengenai kemudahan disediakan DBKL boleh melayari portal www.citypark.my.

Kadar baru itu susulan pengumuman Kementerian Wilayah Persekutuan mahu meneliti semula keputusan kenaikan caj parkir sebanyak 150 peratus yang diperkenalkan dan dikuatkuasakan DBKL pada 16 Julai lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS