Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Waris si mati 'pertahan PM' diminta tampil buat laporan

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak meminta waris si mati yang gambarnya digunakan oleh pemilik akaun media sosial 'Zunaidah Zain' tampil mengemukakan laporan.

Salleh berkata demikian mengulas dakwaan seorang wanita bahawa gambar rakannya yang telah meninggal dunia digunakan bagi mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Facebook.

“Pada kita sekiranya ada laporan yang diterima kita akan maklumkan pihak Facebook dalam hal ini agar tindakan dapat diambil untuk mengeluarkannya kerana ia boleh merosakkan nama baik mereka yang telah meninggal dunia.

“Insya-Allah tindakan akan diambil sebaik sahaja kita menerima laporan mengenainya,” kata Salleh kepada Malaysiakini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan gambar seorang wanita, yang didakwa rakannya telah meninggal dunia tiga tahun lalu digunakan bagi mempertahankan perdana menteri.

Akaun media sosial 'Zunaidah Zain', yang menggunakan gambar itu sebagai gambar profil, tidak lagi boleh didapati di Facebook.

Menurut tangkapan skrin (screenshot) daripada paparan yang sudah tersebar luas itu, 'Zunaidah Zain' berkata rakyat harus menyokong pemimpin, dengan menggunakan hashtag #RespectMyPM #BelieveinPM.

Sementara itu, Ketua Unit IT Umno, Datuk Ahmad Maslan yang ditemui Malaysiakini enggan menggulas lanjut mengenai perkara tersebut dengan menyatakan ia tidak ada kaitan dengan beliau.

“Bukan bab saya, tak ada kaitan (dengan saya),” kata Ahmad ringkas dan berlalu pergi.

Lihat Komen
ADS