Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Saya dinasihati peguam agar berdiam diri, kata Abu Kassim

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata beliau dinasihatkan oleh peguamnya supaya berdiam diri berhubung laporan polis yang dibuat ke atasnya.

“Saya telah dinasihati oleh peguam saya dan peguam meminta saya untuk berdiam diri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Paluan Berundur di Pejabat SPRM di Putrajaya.

Sebelum ini Naib Pemuda Umno Khairul Azwan Harun mendakwa Abu Kassim berkomplot bersama bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz dan bekas peguam negara Tan Sri Gani Patail untuk menjatuhkan perdana menteri dan kerajaan.

Khairul Azwan membuat laporan polis dengan mendakwa ketiga-tiga mereka disyaki menyalurkan maklumat sulit berkaitan 1MDB kepada agensi asing, termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) tanpa kebenaran.

Sementara itu, dalam majlis perpisahan yang dihadiri seramai 1000 kakitangan itu, Abu Kassim menggesa pegawai-pegawainya 'mempengaruhi' ketua-ketua pesuruhjaya yang baru dalam membuat 'perubahan teras' bagi memerangi rasuah.

“Kita tidak mahu sebuah agensi pencegahan rasuah tertua di dunia ini ketinggalan hanya disebabkan kita gagal membuat perubahan-perubahan teras iaitu keperluan bagi SPRM masih relevan pada waktu ini dan masa akan datang.

“Saya serahkan kepada ketua pesuruhjaya yang baru, dalam pada itu pegawai-pegawai SPRM mestilah memberi penerangan serta mempengaruhi ketua-ketua pesuruhjaya yang baru bahawa perubahan ini adalah perubahan teras yang penting untuk membawa perubahan membebaskan SPRM dan menjadikan SPRM sebagai salah satu agensi pencegahan rasuah yang terunggul di dunia,” katanya.

Majlis Paluan Berundur itu diadakan susulan Abu Kassim, Timbalannya Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan) Datuk Seri Mustafar Ali meninggalkan SPRM.

Lihat Komen
ADS