Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rumah ibu mangsa culik Abu Sayyaf musnah dalam kebakaran
Diterbitkan:  Jul 29, 2016 8:11 PM
Dikemaskini: 12:18 PM

"Hari ini dugaan besar menimpa saya kerana selepas 12 hari anak saya menjadi mangsa penculikan, rumah saya pula musnah dijilat api," luah Hasmiah Lahap.

Hasmiah, 50, berkata demikian ketika ditemui Bernama di Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut dekat Tawau yang rumahnya antara lebih 20 rumah di kampung itu musnah dalam kebakaran hari ini.

Ibu kepada Fandy Bakrin, 26, yang merupakan antara lima yang diculik kumpulan pengganas Abu Sayyaf pada 18 Julai lepas, tinggal sehelai sepinggang dan memohon simpati orang ramai membantunya.

"Saya tidak ada tempat bergantung hidup, sejak anak saya diculik. Hari ini pula saya hilang rumah tempat saya berteduh.

"Kami sekeluarga ibarat sudah jatuh ditimpa tangga," katanya.

Hasmiah berkata sejak Fandy diculik, beliau tinggal di rumah itu bersama anak perempuannya berumur 16 tahun dan seorang cucu perempuan berumur 6 tahun.

Ketika Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu Datuk Hamisah Samat menemuinya di lokasi kejadian, beliau ternyata tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir ketika menceritakan kejadian yang menimpanya kepada wakil
rakyat berkenaan.

Selasa lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Fandy bersama rakannya yang hilang di perairan Dent Haven, Tambisan di Lahad Datu menjadi mangsa penculik kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

Mangsa culik yang lain dikenali sebagai Abd Rahim Summas, 62, juragan bot dari Kampung Tanjung Batu, Tawau; Tayudin Anjut, 45, dari Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau; Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Felda Jengka 7, Bandar Jengka, Pahang; dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, dari Batu 2, Jalan Apas, Tawau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS