Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PM percaya Dzulkifli, Mustafar dapat keyakinan ramai
Diterbitkan:  Jul 29, 2016 8:32 PM
Dikemaskini: 2:48 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak percaya Datuk Dzulkifli Ahmad yang dilantik sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Datuk Mustafar Ali sebagai ketua pengarah Imigresen akan dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Katanya, kepimpinan kedua-dua pegawai tinggi itu akan dapat memberi keyakinan kepada orang ramai terhadap jabatan masing-masing.

"Saya percaya pelantikan kedua-dua tokoh atau pemimpin pegawai penjawat itu akan membolehkan kedua-dua badan yang penting ini menjalankan tugas mereka dengan baik dan licin, (justeru) memberi keyakinan kepada orang ramai," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan Dzulkifli, yang merupakan Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara, sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM menggantikan Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed mulai 1 Ogos 2016 sehingga 31 Julai 2021.

Ali berkata Abu Kassim, yang sebelum ini memohon untuk tidak meneruskan perkhidmatannya, pula akan ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Mustafar yang merupakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, ditempatkan sebagai Ketua Pengarah Imigresen mulai 1 Ogos ini (2016) bagi menggantikan Datuk Seri Sakib Kusmi yang ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan
Awam.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS