Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan DOJ: 1MDB tak terlibat secara langsung, kata Najib
Diterbitkan:  Jul 29, 2016 8:49 PM
Dikemaskini: 12:58 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata syarikat pelaburan strategik negara 1MDB tidak terlibat secara langsung dalam laporan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.

Katanya, laporan itu juga tidak mengandungi apa-apa maklumat atau pandangan daripada pihak Malaysia sama ada kerajaan, Jabatan Peguam Negara atau 1MDB.

"Hanya mereka tertentu yang ternama dalam laporan tersebut sahaja disebut dalam laporan itu, ini bererti bahawa secara langsung 1MDB tidak terlibat dalam laporan berkenaan.

"Dalam erti kata lain 1MDB tidak ada aset di Amerika Syarikat dan secara langsung 1MDB tidak ternama dalam laporan tersebut," katanya dalam sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini.

Katanya, laporan tersebut juga tidak mengambil kira pandangan atau penjelasan daripada pihak Malaysia dan dibuat tanpa merujuk kepada 1MDB.

Najib yang juga menteri kewangan berkata kerajaan sememangnya memandang serius perkara itu dan seperti yang dikatakan sebelum ini beliau telah menyatakan bahawa mereka yang dinamakan dalam laporan berkenaan perlu membersihkan nama masing-masing mengikut hak dan proses yang sewajarnya.

"Pokoknya soal penyelesaian antara 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments, kita harap ia berjalan mengikut proses tertentu supaya soal kedudukan aset dan dana yang dipindahkan itu dapat ditentukan secara muktamad," katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri turut mempertikai cara laporan itu dikendalikan yang diberikan publisiti secara besar-besaran kerana ia bukan 'precedent case' (kes duluan) dan biasanya saman sivil ia tidak menonjol.

Ditanya sama ada laporan itu hanya merupakan kompilasi laporan media, Najib berkata ia kelihatan diperoleh daripada sumber tertentu tetapi tidak pasti dari mana.

"Secara luaran, ia dilihat datang dari sumber tertentu, tapi kami akan pantau prosiding yang akan diikuti saman, kerana saya tidak boleh kata ia datang dari mana, tetapi sudah pasti ia bukan dari 1MDB, Peguam Negara atau kerajaan Malaysia," katanya.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat baru-baru ini memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa diselewengkan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS