Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Remaja perempuan antara ditahan ops samseng jalan raya

Seorang remaja perempuan antara 25 pesalah trafik yang ditahan dalam operasi cegah samseng jalan raya berhampiran Dataran Majlis Bandaraya Ipoh malam tadi.

Kesemua pesalah termasuk remaja berumur 13 tahun itu ditahan dalam operasi selama lima jam bermula pukul 12 tengah malam yang membabitkan tiga pegawai dan 18 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri Supt Wan Jamil Wan Chik berkata dalam operasi itu juga sebanyak 17 motosikal disita dan 25 saman dikeluarkan.

"Pelbagai kesalahan direkodkan dalam operasi ini termasuk tiada lesen
memandu, nombor plat kenderaan tidak menepati spesifikasi ditetapkan, tiada cermin sisi dan tidak menampal pelekat 'P' dan 'L' pada kenderaan.

"Dalam operasi ini juga, tiga pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap ditahan," katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

Wan Jamil berkata operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dan pihak polis tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahi undang-undang.

-Bernama

Lihat Komen
ADS