Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pilihan raya Pulau Pinang tak jadi, kata Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak akan meneruskan rancangannya untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri itu.

"Ini kerana PKR tidak bersetuju dengan cadangan tersebut," kata Lim pada sidang akhbarnya, hari ini.

Beberapa hari yang lalu, PKR menyatakan rasa belum cukup yakin dengan cadangan DAP untuk mengadakan pilihan raya negeri di Pulau Pinang.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, walaupun keputusan itu diambil sebulat suara oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP), mereka akan tetap meneruskan perbincangan mengenainya dengan parti lain dalam Pakatan Harapan.

"Selepas perbincangan menyeluruh, termasuk mengambil kira pandangan masyarakat madani (civil society), mesyuarat memutuskan secara sebulat suara bahawa PKR masih belum yakin dengan cadangan tersebut," katanya.

Cadangan tersebut telah menyebabkan berlakunya beberapa pertikaman lidah antara pemimpin DAP dan PKR yang menggusarkan banyak pihak.

Cadangan itu juga mendapat bantahan banyak pihak lain terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang secara jelas menyatakan tentangan terhadap rancangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Lim berkata, keputusan itu dibuat setelah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali memaklumkan kepada beliau bahawa pimpinan parti itu tidak bersetuju untuk mengadakan pilihan raya awal.

"Semasa pertemuan antara saya, Azmin, Naib Presiden PKR Nurul Izzah, Pengarah Pilihan Raya PKR, Saifudin Nasution selain Chow Kon Yeow pada 20 Julai yang lalu, PKR menyatakan kebimbangan kehilangan lebih banyak kerusi berbanding DAP.

"Kami menjelaskan bahawa ia merupakan strategi yang proaktif, bukan sahaja untuk membenarkan rakyat membuat keputusan sama ada saya perlu terus menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang semasa didakwa dengan tuduhan rasuah yang direka-reka atau tidak,

"Apa yang lebih penting adalah ‘memberi’ hukuman kepada apa yang didedahkan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat semasa mengemukakan saman untuk merampas aset bernilai AS$1 bilion yang dicuri oleh 1MDB dari rakyat Malaysia.

"PKR mencadangkan DAP menyerahkan satu atau dua kerusi di bahagian pulau kepada PKR untuk lebih menyakinkan cadangan itu, bagaimanapun, kita merasakan ia tidak mungkin berlaku," katanya dalam kenyataan.

Justeru, ekoran ketidak setujuan PKR mengenai pilihan raya tersebut, DAP tidak akan meneruskan rancangan itu walaupun Parti Amanah Negara (AMANAH) telah bersetuju mengenainya.

"DAP berpegang kepada proses rundingan secara kolektif. Walaupun dikritik secara tidak adil, kita akan berpegang kepada janji dan prinsip amanah sebagai asas menjalinkan hubungan lebih erat dalam Pakatan Harapan.

"Tidak seperti BN yang kleptokrat, pemimpin-pemimpin DAP adalah demokrat yang berusaha untuk membina dan mengukuhkan kepercayaan bersama," ujarnya lagi.

Pengumuman Lim hari ini pastinya menyebabkan banyak pihak menarik nafas lega walaupun Gerakan telah bersedia untuk meletakkan 13 calon untuk bertanding, selain PAS yang turut bersedia untuk bertanding jika pilihan raya itu diadakan.

Lihat Komen
ADS