Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Semua tentera patut dapat pencen, tak kira berapa lama berkhidmat'
Diterbitkan:  Jul 31, 2016 1:48 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali mendesak kerajaan agar meningkatkan imbuhan dan kebajikan warga tentera termasuk pemberian kediaman rumah yang selesa dan pembiayaan pendidikan anak-anak tentera.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu semua anggota tentera terutama yang berpangkat rendah diberikan bayaran pencen bulanan tanpa mengira tempoh perkhidmatan.

"Ini kerana ada anggota tentera yang menjadi cacat akibat bertempur dengan musuh dengan tempoh perkhimatan kurang 25 tahun dan tidak mendapat pencen," kata Ibrahim dalam kenyataannya.

Seramai 131,813 kakitangan awam Kementerian Pertahanan termasuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menikmati kenaikan satu tangga gaji bermula 1 Julai yang lalu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kenaikan itu dilaksanakan mengikut Skim Perkhidmatan Awam Persekutuan di bawah Sistem Saraan Malaysia.

"Agenda penambahbaikan ini juga melibatkan aspek kebajikan anak-anak anggota dengan menyediakan perkhidmatan bas sekolah termasuk perumahan yang selesa," kata Hishammuddin.

Mengulas lanjut, Ibrahim menambah, kerajaan wajar mengkaji semula secara inklusif berkenaan kebajikan anggota tentera yang berpangkat rendah.

"Merekalah yg bertempur, merekalah yg terkorban dulu dan mereka adalah dinding keselamatan dan kedaulatan negara," ujar beliau.

Lihat Komen
ADS