Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak menolak kemungkinan parti yang akan ditubuhkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan turut bekerjasama dengan PAS.

Menurutnya, sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, gabungan parti pembangkang itu akan menjadi yang terbesar dan terakhir ditubuhkan bagi menentang BN.

"Saya kata kita mengalu-alukan semua parti politik pembangkang sebab musuh kita Umno dan BN.

"Kita kena bersatu untuk bekerja sebagai satu pasukan. Kita mesti mempunyai polisi dan rangka kerja yang sama," kata Azmin ketika ditanya pemberita di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam sebentar tadi.

Malay Mail Online hari ini melaporkan parti baru itu mungkin akan dinamakan Barisan Rakyat dengan bekas timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai presiden, manakala Mahathir sebagai penasihat parti.

Menurut Azmin perkembangan tersebut juga disambut baik oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) memandangkan objektif penubuhannya yang jelas dan sama dengan pembangkang iaitu menumbangkan kerajaan BN.

"Kami sentiasa mengambil pendirian secara inklusif dengan sebarang parti politik atau individu yang komited kepada agenda reformasi.

"Jika parti baru menggariskan objektif yang jelas untuk membentuk parti dan ia selari dengan dasar kami, kami pasti gembira untuk mengalu-alukan mereka (parti baru) untuk menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan untuk mengembangkan asas perjuangan kami. Kita perlu lebih inklusif untuk bersedia untuk PRU-14," kata Azmin.

Pertengahan Julai lalu Mahathir mengumumkan parti baru itu akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi menghadapi BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, PAS masih tidak menyatakan pendirian sama ada akan menyertai gabungan berkenaan meskipun Timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini menyarankan agar pembangkang melakukan 'genjatan senjata' bagi menentang BN.

Terdahulu Azmin merasmikan Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2016-2018 di Bangunan Sultan ABdul Aziz Shah hari ini.

Lihat Komen
ADS