Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan Malaysia akan gagal sekiranya beliau masih memegang tampuk pentadbiran.

Sebaliknya Najib yang juga presiden Umno berkata pertemuannya dengan Presiden Ukraine, Petro Poroshenko dan Presiden Indonesia, Joko Widodo sebelum ini bukti jelas beliau masih memainkan peranan penting selaku pemimpin negara.

Ini kerana Najib berkata kedua-dua pemimpin terbabit menerima baik pendekatan pentadbiran yang diguna pakai Malaysia.

"Kononnya kalau saya terus jadi PM negara akan gagal, saya tak nampak orang tak hormat Malaysia. Presiden Ukranie datang Malaysia tengok lapangan terbang kita dan beliau kata 'kami tiada lapangan terbang baru di Istanbul'.

"Saya juga berurusan dengan Jokowi di Indonesia, beliau katakan banyak lagi projek yang dia mahu berikan kepada Malaysia. Apakah ini gambaran Malaysia gagal? Tidak," kata Najib.

Najib berkata demikian dalam ucapan perasmian pelancaran serentak Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian-Bahagian Seluruh Selangor di Dewan Kolej Mara Banting, Bukit Cangang, Kuala Langat di hadapan lebih 1,000 perwakilan Umno, hari ini.

BR1M bukan dedak

Mengulas lanjut, Najib yang juga menteri Kewangan berkata ekonomi negara kini sedang berkembang dalam persaingan dunia di tangga ke 18 berbanding dahulu di tangga ke 26.

"Sekarang pada tangga 18 Malaysia paling berdaya saing di dunia dan baru-baru ini 35 pakar ekonomi di UK kata pemberian langsung kepada rakyat adalah kaedah ekonomi terbaik," kata Najib.

Justeru, tegas Najib Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) jelas membantu rakyat.

"Maknanya BR1M itu baik. Tapi ingat ia bukan beri dedak, jangan hina orang dengan makan dedak, itu makanan binatang.

"Kita bagi kerana kita nak bantu mereka yang perlu pertolongan," kata Najib.

Tambah Najib, pendekatan kerajaan dalam pelaksanaan BR1M juga turut mendapat pujian Joko Widodo.

"Saya jumpa dengan bapa Indonesia (Jokowi) dia kagum dan kata Malaysia ada dasar dan agenda untuk Bumiputera, 'kami Indonesia tak mampu buat seperti Malaysia'.

"Macam mana Malaysia buat? Kerana kekuatan parti Umno," tegas Najib.

Lihat Komen
ADS