Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Alangkah lucunya komen-komenmu, kata Ibrahim Ali

ULASAN Berbagai ulasan, pandangan serta kenyataan-kenyataan pelbagai pihak dapat kita lihat mengenai parti baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ada yang berbaur kecaman. Ada yang memperlekeh dan berbagai lagi komen, khususnya pemimpin-pemimpin parti politik, golongan akademik dan ilmuwan.

Pada pandangan saya, ia mudah saja untuk kita ulas.

Kalau penubuhan parti baru BERSATU ini dianggap remeh, tiada sokongan, tidak memberi kesan pada kepada parti lain, dianggap hanya parti serpihan, tidak dapat bertahan lama atau berkubur selepas PRU14, kenapa perlu dibuat pelbagai andaian dan kenyataan serta ulasan di media?

Sehinggakan nama BERSATU pun mendapat bantahan. Pelbagai alasan dan tekanan sudah mula timbul satu per satu.

Banyak pihak berlumba-lumba mahu memberi ulasan sehingga dilihat seperti kumpulan Raja Lawak.

Malaysia sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Takkanlah golongan akademik pun tidak faham.

Di mana sifat intelektualisme dan keilmuwan. Mahathir dan Muhyiddin juga rakyat Malaysia yang berhak menubuhkan parti.

Beri ruang, peluang

Soal sama ada mendapat sokongan atau tidak dari rakyat, itu sama-sama kita tunggu dan saksikan. Beri mereka ruang dan peluang.

Jangan sesekali cuba merendahkan minda rakyat kerana rakyat tahu apa yang mereka harapkan.

Kini dunia tanpa sempadan. Maklumat di hujung jari. Tidak perlulah keterlaluan mengeluarkan kenyataan atau ulasan seolah-olah tahu segala-galanya dalam minda dan pemikiran rakyat.

Nasihat saya, walaupun masing-masing ada hujah, pandangan. Dan janganlah sehingga 'mendahului kuasa dan ketentuan Allah'.

Kita hanya merancang tetapi Allah SWT jua yang menentukan.

Dalam dunia politik khususnya ketika ini, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Ini wajar diingati supaya jangan terlalu angkuh, takbur dan memandang rendah keupayaan orang lain sehingga ke tahap menghina.

Ini akan merugikan dan terkesan sehingga terlalu negatif untuk diterima. Paku dulang paku serpih. Mengata orang dia yang lebih.

Yang benar ditidakkan...

Setakat ini saya berpendapat, pandangan Khairy Jamaludin dan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin boleh dianggap rasional dan berpijak di bumi nyata.

Jelas kelihatan matang dan logik. Jauh lebih baik dari ulasan serta pandangan lain waima pandangan ahli akademik mahu pun tokoh-tokoh politik yang lain.

Pepatah Melayu ada menyebut: Kata yang benar ditidakkan, rahmat tuhan dilarikan.

Ulasan saya ini sekadar sebuah pandangan bebas daripada mantan calon bebas dan masih bebas dari parti-parti politik.

Pandangan saya sebagai rakyat yang memahami dan mendukung demokrasi, aktivis politik dan mantan anggota parlimen tiga penggal dan memegang berbagai jawatan dalam parti politik sebelum ini serta presiden PERKASA.

Saya terpanggil membuat ulasan ini kerana saya rasa amat lucu dan adakalanya ketawa sendirian apabila membaca berbagai kenyataan pihak-pihak tertentu yang saya anggap seolah-olah menonton program Maharaja Lawak Mega.

Kenyataan-kenyataan yang dilihat seperti Maharaja Lawak inilah yang akan mendorong rakyat menyokong parti baru BERSATU yang ditubuhkan oleh Mahathir dan Muhyiddin.

Saya akhiri ulasan dan pandangan saya dengan serangkap pantun:

Keris disanding bersama tombak,
diasap setanggi bunga teratai;
kalau takut dilambung ombak,
jangan berumah di tepi pantai.


DATUK IBRAHIM ALI presiden PERKASA.

Lihat Komen
ADS