Paling Popular
Terkini

ULASAN Tiada rakyat Malaysia yang tidak pernah menonton filem P Ramlee.

Kita pastinya masih ingat satu babak dalam Ali Baba Bujang Lapuk, apabila ketua penyamun amat marah dengan Kassim Baba (lakonan S Shamsuddin) kerana menyamun hasil rompakan mereka.

Lalu sebagai hukuman, ketua penyamun meminta sarjan (Ibrahim Pendek) membawa senjata untuk menamatkan riwayat Kassim Baba yang tamak haloba.

Sarjan kemudian membawakan senapang besar kepada ketua penyamun.

Dialog Kassim Baba apabila melihat senapang itu berbunyi: "Allah mak, senapang apa ini besar sangat?"

"Inilah senapang gajah," kata P Ramlee yang melakonkan watak ketua penyamun berkenaan.

Adegan seperti itu membuatkan kita tidak kering gusi. Maka istilah “senapang gajah” mungkin bermula daripada filem Ali Baba Bujang Lapuk.

Drama politik cemas

Sejak kebelakangan ini rakyat Malaysia disajikan dengan drama-drama politik yang membingungkan. Drama ini penuh aksi membimbangkan, kadangkala diselang-seli dengan babak cemas lagi mengerikan.

Lebih cemas lagi babak ini turut mengheret sama institusi negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Bank Negara dan polis.

Bermula dengan pelantikan peguam negara baru yang kemudian membersihkan nama perdana menteri daripada sebarang salah laku dalam 1MDB, kita dikejutkan pula dengan keluarnya ketua pesuruhjaya SPRM, bersama dua lagi timbalannya, daripada badan itu.

Pelantikan ketua SPRM yang baru bagaimanapun terus dipertikai kerana bukan kalangan pegawainya, sebaliknya dari pejabat peguam negara. Sebelum itu, beberapa pegawai SPRM yang menyiasat kes 1MDB turut ditukarkan secara mengejut.

Gabenor Bank Negara yang sering tampil dengan imej berbaju kurung itu juga menamatkan khidmatnya dan diganti dengan yang baru. Timbul cakap-cakap bahawa rombakan dan pertukaran demi pertukaran ini disebabkan tekanan dan campur tangan politik yang dikaitkan dengan siasatan 1MDB.

Tidak lama selepas itu Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengumumkan saman sivil untuk menyita aset yang didakwa dibeli beberapa individu menggunakan dana 1MDB melalui taktik penipuan dan pengubahan wang haram.

Rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes itu dikejutkan lagi apabila Bank Negara mengumumkan tidak akan membuka semula siasatan terhadap 1MDB susulan tindakan DOJ itu.

Sepertimana langkah yang diambil peguam negara, sebahagian orang ramai melihat keputusan Bank Negara itu sekadar menyapu isu 1MDB ke bawah karpet.

Ikrar Dzulkifli

Sudah tentu dalam banyak institusi yang disebutkan, SPRM antara agensi yang mencuri tumpuan utama selaku badan penting pelaksana undang-undang pencegahan rasuah. Ketika pertama kali dilantik ke jawatan baru sebagai ketua pesuruhjaya, Datuk Dzulkifli Ahmad berikrar memulakan tugas dengan menjadikan firman Allah sebagai pegangan.

Dzulkifli berkata beliau sedar dan insaf dengan peringatan Allah dan akan sentiasa menjadikan ia sebagai pegangan sepanjang melaksanakan amanah yang amat berat itu.

Beliau kemudian memberi amaran agar perbuatan rasuah dihentikan atau bersedia berdepan tindakan tegas pasukan penguatkuasaan.

Ikrar itu disusuli beberapa tangkapan terhadap penjawat awam.

Tiga penjawat awam - dengan dua daripadanya berpangkat Datuk Seri dan Datuk ditahan atas kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram. Seorang pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pegawai kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilapor ditahan dengan wang sebanyak RM13 juta dalam akuan yang kemudian dibekukan.

Kita mengalu-alukan langkah tersebut dan memuji kepantasan SPRM memerangi rasuah di kalangan penjawat awam.

Ia bukan bermakna SPRM bawah ketuanya yang lama tidak melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh.

Tetapi barangkali kerana terlalu bimbang dengan peringatan Allah, ketua SPRM yang baru bertindak jauh lebih agresif menangani jenayah itu.

Bagaimanapun tindakan tegas SPRM masih tidak dapat menghakis tanggapan negatif sesetengah pihak terhadapnya. Pemuda PAS Wilayah Persekutuan misalnya mengingatkan bahawa badan itu berhadapan tugas berat untuk memulihkan semula kredibiliti SPRM.

Siasatan SPRM terhadap SRC International dan derma RM 2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi perdana menteri menjejaskan reputasinya sebagai badan bebas dan seolah-olah masih dibayangi campur tangan politik.

1MDB bukan isu rasuah?

Kita mungkin menggaru-garu kepala yang tidak gatal apabila bekas timbalan ketua pesuruhjaya SPRM (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Seri Zakaria Jaffar baru-baru ini mengulas mengenai siasatan 1MDB.

Katanya, berdasarkan kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull, badan itu tidak menyiasat 1MDB kerana ia bukan isu rasuah.

Sebaliknya katanya, kes 1MDB merupakan isu pelaburan dan penipuan yang berada bawah bidang kuasa Bank Negara dan polis. Pada masa yang sama Bank Negara telah pun menutup kes tersebut. Maka kini beban itu dialihkan seratus peratus kepada PDRM dan ketua polis negara.

Orang ramai tertanya-tanya, bagaimana mungkin Malaysian Official 1 yang disebut dalam dokumen DOJ dan sebanyak AS$681 juta dimasukkan ke akaun banknya tidak mempunyai hubung kait dengan rasuah atau salah guna kuasa?

Tambahan lagi, individu yang disebut dalam saman DOJ mempunyai hubungan kekeluargaan dengan orang kenamaan yang juga tokoh penting dalam 1MDB. Oleh itu kenyataan Zakaria menimbulkan lebih banyak keanehan.

Dahulu kita diberitahu bahawa politik wang dalam pemilihan sesebuah parti politik bukan rasuah. Wang daripada politik wang dan wang daripada rasuah dikatakan dua perkara berbeza.

Mengikut logik itu, orang yang mengamalkan politik wang tidak semestinya cenderung melakukan rasuah. Walhal mereka itu jugalah yang dicalonkan sebagai wakil rakyat, dilantik ke jawatan kabinet dan sebagainya. Maka tidak hairan apabila ada individu yang pernah disabitkan bersalah kerana politik wang oleh partinya dipilih mengetuai agensi tertentu seperti Felda.

Kuasa pendakwaan SPRM

Sebagai rakyat biasa, kita memuji tindakan pantas SPRM menahan beberapa penjawat awam baru-baru ini. Pada masa sama kita masih menunggu maklum balas dan reaksi daripada ketuanya yang baru berkenaan siasatan 1MDB.

Ya, kita tahu bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa pendakwaan dan kuasa yang ada padanya terbatas. Kertas siasatan yang bertingkat-tingkat itu akhirnya akan diserahkan kepada pejabat peguam negara untuk tindakan susulan.

Tiada gunanya jika siasatan yang berjela-jela itu akhirnya dibungkus rapi oleh pejabat peguam negara, sama ada tersimpan kemas di dalam laci atau dibuang sahaja ke dalam tong sampah.

Kita tidak mahu SPRM terus diperlekeh selagi kuasa pendakwaan tidak diberikan kepadanya. Apatah lagi pelantikan Dzulkifli dipertikaikan banyak pihak kerana beliau bukan daripada kalangan pegawai kanan SPRM.

Dzukifli sebagai orang yang takut dengan perintah Allah pastinya lebih maklum mengenai perkara ini. Tindakan tegas dan agresif oleh suruhanjaya itu terhadap penjawat awam tidak mencukupi jika tiada desakan supaya kuasa pendakwaan diberikan kepadanya.

Inilah masanya Dzulkfli membersihkan imej dan integriti SPRM dengan mendesak supaya reformasi menyeluruh dilakukan.

SPRM tidak memerlukan teropong bersaiz besar kerana teropong bersaiz biasa sudah memadai untuk itu. Dibimbangi jika terlalu besar, suruhanjaya itu sukar melihat gajah yang lalu di depan matanya dan hanya 'berjaya' meneropong ikan bilis di seberang laut.

Apa yang diperlukan SPRM pada masa ini adalah memiliki senapang yang lebih besar, seperti senapang P Ramlee untuk menembak gajah tersebut.

Lihat Komen
ADS