Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Saman National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd ke atas Public Bank atas dakwaan membocorkan akaun sulit perbankan pada tahun 2012, akan bersambung semula selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk John Louis O 'Hara berkata perbicaraan akan diteruskan dengan pengerusi NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail memberi keterangan pada 21 Oktober depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Syed Ismat Syed Muhammad yang mewakili NFC dan Salleh manakala Public Bank diwakili peguam, Yoong Sin Min.

Menurut Syed Ismat, terma yang dicadangkan bagi penyelesaian itu tidak dipersetujui Public Bank.

NFC, bersama-sama dengan Salleh dan tiga anak syarikatnya - National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Agroscince Industries Sdn Bhd dan Real Food Company Sdn Bhd - memfailkan saman RM560 juta terhadap Public Bank atas dakwaan pelanggaran kontrak untuk melindungi kerahsiaan akaun bank pelanggan.

Plaintif menuntut RM60 juta sebagai ganti rugi am dan RM250 juta setiap satu ganti rugi teladan dan punitif.

Sebelum ini, NFC dilaporkan memperolehi dokumen 20 muka surat siasatan dalaman yang dijalankan ke atas seorang pekerja Public Bank.

Ini selepas Hakim O 'Hara membenarkan permohonan NFC dan Mohamad Salleh untuk menggunakan dokumen berkenaan dalam perbicaraan itu.

Plaintif mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) itu.

Plaintif turut mendakwa maklumat bank akaun mereka yang dibocorkan itu digunakan oleh Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli untuk menyokong dakwaan bahawa plaintif telah mempengaruhi pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS