Paling Popular
Terkini
story images
story images

"Dataran Merdeka itu pemiliknya ialah DBKL. Kalau DBKL kata tak boleh, tak bolehlah.

"Kalau saya buat demonstrasi dalam rumah awak, macam mana?" kata Datuk Seri Nazri Aziz mengulas rancangan penganjur himpunan #TangkapMO1 membuat perhimpunan di Dataran Merdeka Sabtu ini.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata semua pihak harus menghormati hak pemilikan seseorang atau pihak ke atas mana-mana kawasan.

Katanya disebabkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memberi kebenaran himpunan itu diadakan di kawasan berkenaan penganjur mesti menghormati pihak berkuasa tepatan itu sebagai 'tuan tanah'.

Justeru kata Nazri pihak yang ingin mengadakan perhimpunan berkenaan sepatutnya tidak membenarkan sebarang protes diadakan di kawasan berkenaan.

"Minta kebenaran daripada polis. Ini kuasa polis, akta sudah ada. Kalau polis kata tak boleh, tak bolehlah. Dan saya difahamkan bukan saja polis, anda kena tanya pemilik tanah," katanya.

Malaysiakini melaporkan sekumpulan belia belia yang memperkenalkan diri mereka sebagai “Gabungan #TangkapMO1” akan membuat himpunan di tiga lokasi berbeza pada 27 Ogos ini.

Selain Dataan Merdeka himpunan sama turut dirancang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah dan Johor Bahru.

Nazri berkata ketika seseorang mahu mempraktikkan hak untuk mengadakan protes aman, pada masa sama mereka mesti menghormati pemilikan sesebuah tempat itu.

Beliau berkata demikian kepada wartawan pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Anggota parlimen Padang Rengas itu juga meminta polis mengambil tindakan terhadap penganjur #TangkapMO1 sekiranya mereka tetap mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka.

Walaupun beliau merupakan menteri yang bertanggungjawab membentangkan Akta Perhimpunan Aman di Parlimen sebelum ini, namun Nazri berpendapat penganjur protes itu mesti menghormati hak orang lain dan tidak mementingkan diri sendiri.

"Saya setuju seseorang berhak untuk mengadakan protes secara aman. Itu hak dia, tapi kena ingat, hak kita tak boleh melampaui hak orang lain.

"Kalau nak protes, hormati hak orang lain, hak DBKL. Itu (Dataran Merdeka) tanah dia, dia ada pemilikan eksklusif pada padang itu.

"Jangan nak fikir hak kita saja. Apabila hak dia, buat apa dia suka, tak fikir hak orang lain. Ini pemikiran orang di hutan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS