Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pasukan Peronda Makkah atau lebih dikenali sebagai pasukan 'Lipan Bara' yang diwujudkan Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya menangani masalah jemaah haji negara ini yang tersesat ketika beribadat di Masjidil Haram.

Ketua unit itu Mohammad Amer Jawahil berkata seramai 17 anggota pasukan itu diletak di tujuh pos atau pintu utama di Masjidil Haram.

"Selain di pintu masuk seperti Marwah, Babus Salam dan King Fahd, kita juga meletakkan satu pos lagi di dalam masjid bagi membantu jemaah haji melakukan saei.

"Ini kerana ejaan di dalam masjid berbeza dengan yang dipelajari ketika di Malaysia dan sebab itu perlu diwujudkan pos di dalam masjid," katanya kepada pemberita sewaktu dibawa melawat lokasi rondaan pasukan berkenaan di masjid itu di Makkah hari ini.

Beliau berkata unit itu bertugas 24 jam sehari dengan 17 anggotanya digilirkan mengikut syif iaitu bermula pukul 7 pagi sehingga 2 petang, 2 petang sehingga 10 malam dan 10 malam sehingga 7 pagi.

Anggota pasukan berkenaan mudah dikenali jemaah haji Malaysia kerana berpakaian baju T merah, berseluar hitam dan bertopi merah yang tertera perkataan Tabung Haji.

Mohammad Amer berkata anggota pasukan itu terdiri daripada 12 anggota Polis Bantuan TH, dua anggota daripada Kor Agama Angkatan Tentera dan tiga dari pasukan Polis Diraja Malaysia.

Beliau berkata tugas penting pasukan itu ialah membantu jemaah menunjukkan jalan pulang ke penginapan masing-masing agar tidak tersesat ke tempat lain.

Selain itu pasukan itu turut membantu jemaah mendapatkan teksi dan menolak kerusi roda sehingga ke laluan penginapan.

"Pasukan ini banyak membantu dan mendapat penghargaan jemaah haji sebelum ini," katanya.

Menurutnya pasukan itu juga turut mencari jemaah haji yang dilaporkan hilang sekitar masjid serta membantu jemaah yang mengalami kehilangan barang seperti beg dan kasut.

"Selain itu kami juga berperanan untuk menyelesaikan masalah ibadat yang ringan seperti urusan mengerjakan tawaf dan saei. Alhamdulillah setakat ini tiada kes besar yang dilaporkan membabitkan jemaah Malaysia," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS