Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Mendengar Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berucap pada 'National Day Rally' (NDR) Ahad lepas satu pengalaman amat berharga bagi saya sebagai perwarta Bernama di negara pulau ini.

Sungguh mengagumkan melihat beliau berucap dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Mandarin dan Inggeris.

Segalanya bermula dengan baik. Sebagai rakyat Malaysia yang bahasa ibundanya bahasa Melayu, saya sangat berbangga apabila mendengar beliau bertutur dalam bahasa Melayu.

Jelas dan tiada pelat!

Cuma sekali beliau tersasul menyebut satu perkataan dan beliau memperbetulkannya semula.

Ini bermakna beliau tahu dan faham apa yang dituturkannya dan bukan setakat membaca teks ucapan.

Ucapan Lee bermula seawal pukul 6.40 petang dengan ucapan dalam bahasa Melayu selama kira-kira 20 minit. Ini diikuti ucapan dalam bahasa Mandarin sehingga 7.30 petang dan saya mengikutinya melalui live streaming di YouTube.

Kemudian, beliau berhenti berehat selama 30 minit sebelum berucap dalam bahasa Inggeris yang dijadual bermula pukul 8.00 malam dan dijangka berakhir pada 10 malam.

Saya perlu teliti mendengar ucapan Perdana Menteri Singapura itu supaya dapat menghasilkan laporan yang baik terutamanya jika ada yang menyentuh hubungan antara kedua-dua negara.

Sememangnya ada dan saya mula membuat laporan berita selain terus mendengar ucapan beliau.

Hati pun berdetik

Bagaimanapun, sekitar pukul 9.40 malam saya terkejut melihat beliau tiba-tiba berhenti berucap. Riak wajah beliau jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dan beliau seakan mahu rebah.

Anggota kabinet dan pegawai lain di pentas terus meluru ke arah beliau untuk membantunya.

Terdahulu saya melihat Lee berhenti sebanyak lebih dua kali untuk meneguk air ketika menyampaikan ucapan beliau.

Hati turut terdetik pada awalnya menyatakan beliau kelihatan tidak begitu sihat pada malam itu.

Langkah seterusnya yang saya ambil ialah melaporkan perkembangan itu ke ibu pejabat di Kuala Lumpur.

Buat pertama kalinya saya melihat keadaan yang agak mencemaskan berlaku kepada seorang perdana menteri melalui siaran langsung yang ditonton di seluruh dunia.

Keadaan cemas kembali reda selepas beliau muncul semula di pentas sejam kemudian dengan kelihatan lebih segar. Lee menerima tepukan gemuruh daripada kira-kira 1,500 penonton yang bangun berdiri di ITE College Central tempat NDR itu berlangsung.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengeluarkan kenyataan demi kenyataan menjelaskan apa yang telah berlaku ke atas Lee dan bahawa beliau telah pulih.

"PM Lee berasa tidak sihat kerana berdiri terlalu lama, panas dan penyahhidratan. Jantung beliau baik dan beliau tidak mengalami strok," kata PMO dalam satu daripada kenyataan pada malam itu.

Lee yang muncul semula di pentas pada pukul 10.40 malam menghabiskan ucapannya dalam tempoh 15 minit. Beliau memendekkan ucapannya dengan tidak menyentuh berkaitan penambahbaikan dalam sistem Presiden Dipilih Singapura.

'Saya tak apa, OK'

Namun saya sempat melaporkan topik itu ketika beliau berucap dalam bahasa Melayu.

Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan menulis dalam Facebooknya: "Malam tadi, PM Lee Hsien Loong mengingatkan kita bahawa kita perlu bersyukur. Apa yang berlaku kepada beliau memang banyak pengajarannya.

"Apabila kami meluru ke pentas, syukur PM Lee berada dalam keadaan sedar sepenuhnya tetapi menunjukkan tanda - berpeluh, degupan jantung dan tekanan darah yang rendah.

"Beliau pulih dengan pantas dan saya tahu PM Lee mahu segera kembali ke pentas untuk menghabiskan ucapannya. Malahan semasa doktor membuat ujian ke atas kesihatannya, beliau begitu sibuk menyunting ucapannya!

"PM Lee memang kembali ke pentas dan menghabiskan ucapannya. Apa yang beliau sampaikan begitu bermakna sekali.

"Selepas itu, kami pergi ke Singapore General Hospital untuk membolehkan lebih banyak ujian dibuat sebelum semuanya selesai sekitar pukul 1.30 pagi," kata Dr Vivian, yang juga seorang pakar oftalmologi.

Saya yakin bukan sahaja rakyat Singapura, rakyat Malaysia juga mahukan Lee terus sihat kekal bertenaga dan mengekalkan hubungan baik dengan Malaysia.

Malam itu, Lee jelas masih berjaga kerana sekitar pukul 2 pagi beliau sempat menjawab ucapan rakan sejawatannya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Twitter.

"Dapat tahu anda tidak sihat. Saya berharap anda akan pulih. Semoga segera sembuh," ucap Najib. "Terima kasih untuk ucapan anda. Doktor saya kata saya tak apa-apa, saya OK," jawab Lee ringkas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS