Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno PP tak berniat ambil alih BN negeri
Diterbitkan:  Aug 23, 2016 6:55 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Umno Pulau Pinang tidak berhasrat untuk mengambil alih jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri daripada Gerakan seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.

Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pihaknya tidak pernah mencadangkan atau melobi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil alih jawatan itu.

Zainal Abidin berkata, pelantikan pengerusi BN negeri juga adalah prerogatif pengerusi BN pusat iaitu perdana menteri.

"Tidak pernah timbul dalam sebarang perbincangan di peringkat Badan Perhubungan Umno negeri Pulau Pinang sebarang cadangan untuk mengambil alih jawatan pengerusi BN negeri yang kini disandang oleh saudara Teng Chang Yeow dari Gerakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata jawatan pengerusi BN negeri yang parti pembangkang menjadi kerajaan bukanlah satu jawatan yang mempunyai kuasa politik atau kuasa pentadbiran.

"Ia (jawatan pengerusi BN negeri) juga tidak ada apa-apa keistimewaan kecuali amanah, tanggungjawab, tugas dan kerja berat semata mata. Ia tidak pernah menjadi rebutan," katanya.

Zainal Abidin berkata hubungan dan kerjasama Umno Pulau Pinang dengan rakan-rakan komponen BN negeri adalah di tahap yang baik dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Katanya, Umno Pulau Pinang akan terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada Teng sebagai pengerusi BN Pulau Pinang dan bersama-sama dengan pimpinan parti komponen yang lain untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN.

- Bernama

Lihat Komen
ADS