Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tanah runtuh akibat kerja-kerja EKVE, tadika ditutup
Diterbitkan:  Aug 23, 2016 9:10 PM
Dikemaskini: 1:56 PM

Penduduk di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, Ampang, melahirkan kebimbangan mereka terhadap kemungkinan tanah runtuh di kawasan kejiranan mereka akibat kerja-kerja pembinaan yang berterusan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).

Ini susulan laporan bahawa kira-kira 50 kanak-kanak pra-sekolah dari tadika Q-Dees yang terpaksa berpindah selepas rekahan muncul di taman permainan mereka.

Akhbar harian Bahasa Inggeris The Malay Mail hari ini memetik Ahli Jawatankuasa Oersatuan Penduduk Taman Kelab Ukay, Surender Singh, sebagai berkata kejadian itu menimbul risiko terhadap keselamatan kanak-kanak.

Katanya, beberapa rekahan berukuran sehingga 30 cm lebar dan dikesan di sebahagian besar taman permainan itu akibat kerja-kerja tanah berhampiran pagar yang memisahkan tadika itu dari sebuah longkang.

"Ini sebahagian daripada sungai yang mereka (kontraktor) cuba alihkan supaya lebih dekat dengan rumah, untuk membina lebuh raya.

"Kami dimaklumkan oleh kontraktor hari ini bahawa kejadian itu berlaku kerana sub-kontraktor mereka tidak mengikut prosedur yang telah dipersetujui," katanya.

Laporan itu juga memetik pengetua Q-Dees Bukit Antarabangsa, Josephine Fernandez, sebagai berkata bahawa beliau mengambil keputusan untuk menutup tadika itu sehingga diberitahu kelak dan kerja-kerja pemulihan dijalankan.

Malaysiakini juga memperolehi beberapa keping gambar dari tapak kejadian yang menunjukkan keretakan yang terdapat di tembok penahan.

Adalah difahamkan bahawa penduduk sebelum ini pernah menimbulkan kebimbangan mereka dengan pemaju projek dan kontraktor tetapi diberi jaminan bahawa langkah-langkah pencegahan telah diambil untuk mengelakkan kejadian seperti itu.

Sementara itu, pemaju EKVE memberi jaminan akan memberi bantuan sewajarnya kepada pengusaha tadika yang terjejas itu.

Dalam satu kenyataan, Pengurus Besar Kanan EKVE Mohd Khalid Mohamed berkata, walaupun pemaju menyedari kesulitan yang timbul akibat penutupan itu, langkah tersebut perlu bagi memastikan keselamatan semua kanak-kanak dan kakitangan.

Jalan ditutup sementara

Sementara itu, Bernama melaporkan Jalan Ampang-Hulu Langat ditutup sementara berikutan tanah runtuh di kawasan berdekatan Menara Tinjau, Bukit Ampang petang tadi.

Agensi berita nasional itu memetik Ketua Polis Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaludin berkata runtuhan itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat beberapa hari lalu.

"Justeru, orang ramai diminta menggunakan jalan alternatif lain," katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menyatakan runtuhan lereng bukit seluas kira-kira 50 meter persegi itu didapati telah menutupi jalan berkenaan, menyebabkan lalu lintas tergendala.

Dalam sistem pesanan ringkas, jurucakap jabatan itu berkata pihaknya menerima maklumat mengenai runtuhan itu pada 6.11 petang tadi.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya juga telah menutup keseluruhan jalan dan polis peronda berada di lokasi bagi membantu mengawal lalu lintas.

"Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini," katanya.

Lihat Komen
ADS