Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Negara dikejutkan dengan pengumuman Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) yang mengalami penyusutan dalam keuntungannya sebanyak 96 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Ekoran daripada itu, keuntungan sebelum cukai Petronas bagi tempoh separuh pertama tahun ini turun 68 peratus daripada RM31.6 bilion berbanding tempoh yang sama 2015.

"Separuh pertama 2016 merupakan masa yang sukar buat Petronas," akui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin sambil memberi jaminan akan komited dalam pembayaran dividen sebanyak RM16 bilion kepada kerajaan tahun ini.

Setakat tahun lalu, Malaysia mengeluarkan 693,000 tong minyak sehari dan purata pengeluaran 654,000 tong sehari dalam lima tahun kebelakangan ini, menurut Semakan Statistik Tenaga Dunia BP 2016, memetik laporan Bloomberg.

Sebagai tulang belakang ekonomi negara dengan menjana lebih 40 peratus kepada pendapatan negara ini, prestasi kewangan Petronas hari ini, semenjak tertubuh firma itu pada tahun 1974, pastinya menjadi suatu kebimbangan dalam pengurusan ekonomi negara.

Bukan kerana pengurusan yang lemah, namun prestasi syarikat minyak negara itu sentiasa dibayangi oleh ketidak tentuan harga minyak global akibat penurunan permintaan, pengeluaran berlebihan oleh negara pengeluar dan kebanjiran teknologi kereta elektrik dan kecekapan penggunaan tenaga yang semua itu di luar kawalan Petronas.

Kenaikan kos sara hidup

Namun, realiti hari ini, rakyat di pelbagai lapisan masyarakat, berdepan dilema untuk terus menyara kehidupan ekoran kenaikan kos sara hidup yang kian memuncak dan seakan-akan tiada penghujungnya, sekaligus terkesan dengan pengurusan ekonomi negara secara amnya.

Bagi golongan berumur 50 tahun ke atas, semakin banyak pihak mendesak agar umur persaraan dilanjutkan kerana khuatir ketiadaan pendapatan selepas bersara wajib akan menekan kehidupan ekoran kos perubatan yang semakin mahal dan kelangsungan hidup sejurus persaraan.

Kebimbangan ini sejajar dengan pendedahan Bank Negara Malaysia baru-baru ini mengenai 92 peratus rakyat Malaysia bimbang dengan keadaan dan keperluan kewangan pada usia tua serta tidak bersedia menghadapi persaraan.

Bagaimanapun, tuntutan berkenaan pastinya menyekat penyertaan warga muda, terutama lepasan universiti ke dalam sektor pekerjaan, sama ada kerajaan mahupun swasta, kerana jumlah peluang pekerjaan yang wujud adalah terhad dalam segi bilangannya.

Dalam bahasa yang lebih mudah, jika yang lama tidak berundur, masakan ada kekosongan untuk diisi oleh yang muda.

Mungkin akibat ketiadaan peluang pekerjaan atau melakukan pekerjaan tidak tetap dan bergaji kecil, maka negara kian terhimpit dengan pelbagai masalah kewangan.

Kes bankrap meningkat

Antara yang mengejutkan ialah kadar anak muda bawah 25 tahun yang bankrap pada separuh pertama tahun ini sahaja meningkat 178 peratus berbanding tahun lalu ekoran kegagalan membayar pinjaman pendidikan.

Bayangkan anak muda yang baru keluar universiti setahun dua yang ingin mendirikan rumah tangga tetapi diisytihar bankrap sehingga tidak mampu untuk membeli kenderaan dan rumah yang hari ini menjadi keperluan asas mana-mana individu tanpa mengira jantina.

Pada masa yang sama, paras hutang isi rumah negara adalah 89 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), antara yang tertinggi di Asia, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Muhammad Ibrahim.

Ini belum termasuk golongan pertengahan antara 30 hingga 49 tahun yang dalam proses membina keluarga mereka tetapi tertekan dengan harga barangan dan perkhidmatan yang semakin mahal sedangkan kenaikan gaji tahunan tidak setara dengan lonjakan harga barang, apatah lagi untuk menyimpan.

Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, isi rumah negara ini perlu berpendapatan minimum RM6,000 hingga RM7,000 sebulan untuk hidup selesa dan boleh mengharungi peningkatan kos hidup yang sedang berlaku serta kurang berhutang.

Oleh itu, kerajaan nampaknya tiada pilihan selain mempelbagaikan pendapatan negara demi mengurangkan tahap kebergantungan pendapatan negara terhadap industri minyak dan gas di samping memperbanyakkan peluang pekerjaan yang ada.

Industri berdaya mahu

Fakta di atas turut disokong oleh laporan BMI Research yang berpangkalan di London yang mendakwa pengeluaran minyak mentah Malaysia akan jatuh ke paras 635,000 tong sehari pada tahun 2024, memetik laporan Bloomberg.

Justeru, tumpuan kerajaan hari ini perlu memfokus kepada pembangunan industri yang berdaya maju seperti pertanian, perindustrian, pelancongan dan pendidikan selain penciptaan industri baru yang lebih strategik dan mampu meningkatkan pendapatan negara.

Tidak dilupakan juga keperluan untuk mengurangkan ketirisan dan menghapuskan amalam rasuah di negara ini yang sekian lama menjadi 'duri dalam daging' kepada pembangunan negara.

Syabas kepada agensi penguat kuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis yang dilihat semakin ligat memburu 'jerung-jerung' di luar sana dan semoga usaha ini tidak sekadar 'hangat-hangat tahi ayam'.


Lihat Komen
ADS