Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak Megat Junid harap Dr M hanya terlepas cakap

Anak sulung Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub pasti arahan penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ditandatangani bapanya semasa menjadi timbalan menteri dalam negeri dibuat selepas mendapat kebenaran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Datuk Megat Fairouz Junaidi berkata adalah sesuatu yang pelik jika kuasa sebesar itu diberikan kepada seorang bertaraf timbalan menteri selama 11 tahun tanpa pengawasan dan pengetahuan Dr Mahathir selaku menteri dalam negeri dan perdana menteri ketika itu.

"Kami (sekeluarga) harap Tun Mahathir yang sememangnya dihormati oleh arwah, hanya terlepas cakap semasa mengungkap kenyataan itu walaupun secara teknikal arwah mungkin menandatangani surat arahan tersebut.

"Dalam konteks penahanan ISA, jika benar arwah yang menandatangani surat penahanan, sudah pasti ia telah mendapat kebenaran dan pengetahuan malah kemungkinan besar ia adalah arahan Tun Mahathir sendiri selaku menteri dalam negeri dan perdana menteri (ketika itu)," katanya dalam sidang media di Putrajaya semalam.

Megat Fairouz, yang mewakili dua lagi anak Allahyarham serta ibunya Puan Sri Faizah Shuaib mengulas laporan laman blog yang melaporkan Dr Mahathir menafikan beliau adalah menteri yang menandatangani perintah tahanan ISA sepanjang menjadi menteri dalam negeri dan perdana menteri.

Dr Mahathir dipetik sebagai berkata selepas mengambil alih sebagai menteri dalam negeri daripada Tun Musa Hitam pada 1986, yang berkuasa menahan mana-mana individu di bawah ISA, beliau telah menurunkan kuasa itu kepada Megat Junid sepanjang 11 tahun Allahyarham berkhidmat sebagai timbalan menteri dalam negeri di bawah pentadbirannya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS