Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Polis akan siasat lebih ramai hadiri sambutan hari jadi Anwar'
Diterbitkan:  Aug 24, 2016 3:19 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dan ADUN Semambu Lee Chean Chung menjangkakan lebih ramai lagi peserta majlis sambutan hari jadi hari ke-69 Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan di luar penjara Sungai Buloh pada awal bulan ini bakal dipanggil oleh polis.

Mereka berkata demikian kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh selepas kenyataan mereka dirakamkan selama kira-kira setengah jam.

"Kami difahamkan bukan kami berdua saja akan dipanggil rakam percakapan tetapi akan ada lagi lebih ramai dan saya jangka mungkin dalam sepuluh atau 15 orang lagi akan dipanggil.

"Polis bertanya tentang beberapa perkara termasuk siapa penganjur, apakah peralatan audio yang digunakan dan lain-lain," kata Fahmi.

Menurutnya mereka disiasat, kerana dirinya menjadi pengacara majlis manakala Lee Chean Chung pula kerana menyanyi lagu pada majlis berkenaan.

Mengikut peguam mereka, Melissa Sasidaran, kedua-dua pemimpin PKR itu disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman, namun polis tidak memberitahu seksyen yang digunakan.

Fahmi turut mempersoal sama ada sambutan hari jadi juga menjadi satu kesalahan sehingga perlu disiasat oleh polis.

"Aktiviti itu hanyalah untuk menyambut hari jadi seseorang.

"Dalam masa akan datang, kalau kamu menyambut hari jadi, mana tahu kamu akan disiasat oleh polis juga," katanya.

Beliau seterus mencadangkan kepada polis supaya memberi perhatian kepada isu yang lebih serius dan penting berbanding sambutan majlis hari jadi.

"Contohnya, saya harap polis akan segera berjumpa dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan (Mansor)  untuk menyatakan kesediaan mereka memastikan Tengku Adnan dan keluarganya selamat untuk beliau membuat pengistiharan harta.

"Hal ini kerana Tengku Adnan berkata beliau takut untuk mengistihar harta kerana mungkin perompak dan penculik akan memangsakan beliau dan keluarganya," kata Fahmi.

Sementara itu, Lee pula mempersoal sama ada tindakannya mendendangkan lagu yang diterbitkan oleh kumpulan band Hong Kong 'Beyond' yang bertajuk 'Zaman Gemilang' adalah satu kesalahan.

"Saya mempersembah sebuah lagu yang memberi penghormatan kepada pemimpin Afrika Selatan Nelson Mandela, apa salahnya dengan lagu ini?

"Sebelum ini kita lihat ada orang yang melukis kartun juga disiasat dan didakwa, ada orang bercakap didakwa, ada orang yang buang belon kuning didakwa juga.

"Sekarang menyanyi pun sudah jadi satu jenayah, mungkin satu hari nanti berfikir pun jadi satu kesalahan," katanya dalam nada menyindir.

Beliau setrus menggesa seluruh rakyat bangkit dan menghadiri perhimpunan 'Tangkap MO1' yang diadakan pada Sabtu ini.

"Jika tidak, mungkin satu hari nanti seluruh negara akan jadi satu penjara yang besar dan kami semua akan jadi banduan yang terkongkong dalam sistem yang tidak bebas ini," katanya.

Pada 10 Ogos lalu, keluarga dan penyokong Anwar berkumpul di luar pintu penjara untuk meraikan hari jadi ketua umum PKR itu.

Ia juga sempena memperingati 548 hari Anwar dipenjarakan atas tuduhan liwat.

Lihat Komen
ADS