Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Datuk Seri' miliki 31 unit kondominium mewah
Diterbitkan:  Aug 24, 2016 3:55 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Seorang Datuk Seri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) baru-ba­ru ini bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa, di­percayai memiliki 31 unit kondominium mewah bernilai lebih RM15.5 juta.

Semua unit kondominium yang terletak di ibu negara itu dikatakan telah ‘dibeli’ daripada lima pemaju projek perumahan yang berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), lapor Utusan Malaysia.

Akhbar itu memetik sumber sebagai berkata, siasatan SPRM mendapati suspek telah ‘membeli’ kesemua unit kondominium tersebut yang harga asalnya RM200,000 sehingga RM300,000 tanpa membuat bayaran pendahuluan menggunakan nama sendiri dan orang terdekat.

“Suspek ini dipercayai telah menandatangani perjanjian jual beli (S&P) dengan pemaju tanpa membuat sebarang pembayaran pendahuluan.

“Apabila rumah siap, suspek dipercayai akan menjual semula setiap rumah pada harga semasa dengan anggaran RM500,000 setiap satu dan mendapat untung atas angin,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Menurut sumber itu, siasatan juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi pegawai dan kakitangan DBKL terlibat melakukan perkara yang sama bagi mendapat keuntungan mudah.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan dan kita masih lagi mencari orang kanan suspek terbabit bagi membantu siasatan,” kata sumber itu lagi. 

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam baki ketika dihubungi akhbar itu mengesahkan perkara berkenaan.

Terdahulu SPRM menahan tiga penjawat awam - dengan dua daripadanya berpangkat Datuk Seri dan Datuk atas kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Susulan penahanan tersebut, akaun milik ketiga-tiga individu itu yang melebihi RM13 juta dibekukan.

Ia melibatkan wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta.

Selain itu, turut disita beberapa aset lain termasuk kondominium mewah, banglo serta kenderaan mahal berjenama seperti Maserati, BMW dan Audi yang dipercayai diperoleh daripada hasil rasuah dan pengubahan wang haram.

SPRM juga turut menjumpai wang tunai bernilai RM400,000 termasuk dalam bentuk mata wang asing serta beberapa utas jam tangan mewah.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram, mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Lihat Komen
ADS